‘Apakah kerajaan mahu tunduk kepada pelobi-pelobi rokok?

Yuneswaran Ramaraj
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa didesak agar membawa semula Rang Undang-Undang (RUU) generasi penamat merokok (GEG) untuk dibentang di Parlimen pada sesi persidangan akan datang tanpa rasa gentar.

Yuneswaran Ramaraj (PH-Segamat) melahirkan rasa tidak puas hati dan kecewa selepas fasal GEG digugurkan daripada RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang diumumkan Dr Zaliha di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

GEG adalah satu dasar yang bertujuan untuk menghapuskan tabiat merokok dan penggunaan produk merokok dalam kalangan generasi muda secara beransur-ansur sehingga tahun 2045. 

- Advertisement -

“Saya harap menteri (Dr Zaliha) mendedahkan nama-nama pelobi itu di dalam dewan ini dan saya minta pertimbangkan dan bawa semula fasal GEG untuk dibentangkan pada persidangan akan datang tanpa rasa gentar dan takut,” katanya dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat,di sini, hari ini.

Yuneswaran juga menyifatkan perkembangan terbaharu itu sebagai ‘membunuh rakyat dengan rokok secara berperlembagaan’.

“Apakah kerajaan hendak (mahu) tunduk kepada pelobi-pelobi rokok di luar sana dan membiarkan hampir 27,000 rakyat mati setiap tahun?

“Saya dimaklumkan cukai daripada rokok untuk setahun dalam lingkungan RM2.3 bilion dan wang yang kita belanjakan untuk pesakit kronik di hospital pula hampir RM8 bilion.

“Jadi, di manakah justifikasinya sehingga ada yang masih mahu menyelamatkan rokok tetapi bukan nyawa manusia,” tegasnya.

Beliau sehubungan itu percaya bahawa Menteri Kesihatan juga mungkin menerima tekanan daripada perokok tegar yang mahu ‘menyelamatkan’ syarikat-syarikat tembakau berkenaan.

“Saya harap pelobi-pelobi yang sedang menonton bahas kami di luar sana, anda bertanggungjawab kepada nyawa-nyawa yang mati disebabkan rokok yang sepatutnya kita boleh selamatkan melalui GEG ini,” katanya.  HARAKAHDAILY 29/11/2023

- Advertisement -