LTdL 2023 sumbang RM3.5 juta kepada ekonomi negeri

Hishamuddin Abdul Karim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 di Terengganu berjaya menjana pendapatan pelancongan secara efek berganda lebih RM3.5 juta menyumbang kepada ekonomi negeri.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, acara sukan antarabangsa pada kebiasaannya mendapat liputan meluas daripada media asing serta tempatan.

Ini katanya, secara tidak langsung berjaya mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

“LTDL telah membuka peluang penjanaan dan limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat, pengusaha pelancongan, pengusaha kedai makan, peniaga-peniaga menerusi jualan-jualan produk termasuk penginapan” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam pada persidangan DUN Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Tambahnya yang juga ADUN Tepuh, kejohanan LTdL menjadi platform kerajaan negeri yang terkenal dengan jolokan ‘Land of Cyclists’ menunjukkan keupayaan Terengganu dalam bidang tersebut.

“Penyertaan pelumba bertaraf antarabangsa dalam kejohanan LTdL merupakan langkah terbaik bagi menonjolkan pencapaian atlet dalam sukan dan berkongsi kejayaan atlet dengan semua pihak,” katanya.

LTdL 2023 yang berlangsung pada 23 hingga 30 September lalu melibatkan 11 negeri di Semenanjung dengan jarak perlumbaan sejauh 1,280 kilometer.

Ia terbahagi kepada lapan peringkat bermula dari Kerteh ke Kuala Terengganu diikuti Kuala Terengganu ke Kota Bharu, Jeli ke Baling, Bukit Mertajam ke Meru Raya, Slim River ke Genting Highlands, Karak ke Melaka, Muar ke Seremban dan seterusnya Setia Alam ke Kuala Lumpur.– HARAKAHDAILY 29/11/2023

- Advertisement -