Berita duka dari Parlimen, peruntukan GEG digugurkan 

- Advertisement -

KERAJAAN telah membentangkan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 semalam.

Pada satu sisi, ia menjadi satu kelegaan selepas tindakan gopoh mengeluarkan nikotin daripada Akta Racun dibuat oleh Kerajaan Madani.

Namun rasa kecewa dan geram tetap tidak dapat dibendung apabila peruntukan berkaitan Generasi Penamat Rokok (GEG) digugurkan.

Sebuah kemenangan besar buat pelobi industri rokok serta vape.

Walaupun Fatwa Kebangsaan sejak 1995 telah memfatwakan hukum merokok (dan vape) adalah haram.

Walaupun Malaysia merekodkan 400 kematian setiap minggu akibat rokok.

Walaupun penggunaan vape dalam kalangan remaja di negara ini menunjukkan peningkatan mendadak dari 9.8 peratus (2017) kepada 14.9 peratus, tahun lalu (2022).

Walaupun Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mengisytiharkan wabak  E-cigarette Or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (EVALI) menyebabkan beberapa kematian utamanya orang muda.

Walaupun kerajaan terpaksa membelanjakan RM6.2 bilion bagi merawat pesakit merokok (2020) sedangkan kutipan cukai produk tembakau hanya RM3 bilion.

Kerajaan nampaknya memilih untuk tunduk kepada pemain industri rokok dan vape berbanding kegusaran awam termasuk komuniti kesihatan awam yang amat berhajat kepada GEG.

Siapa sangka sebuah kerajaan yang kononnya ingin membawa reformasi langsung tidak ada ‘political will’ bagi melahirkan generasi bebas rokok.

Tiada kata dapat menggambarkan kekecewaan kami. 

Belum hilang rasa geram pada menteri yang menafikan bahaya rokok dan kenyataan Peguam Negara baru-baru ini, keputusan menggugurkan GEG ini akan kami pahat sebagai sejarah hitam dalam rekod pentadbiran Madani.

Takziah Malaysia, kita telah terlepas peluang untuk menamatkan ketagihan nikotin kepada generasi baharu.

DR MAZRI YAHYA
Timbalan Pengerusi 
Lajnah Kesihatan PAS Pusat
29 November 2023 – HARAKAHDAILY 29/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -