Tabung pesakit: RM500,000 setahun untuk bantu asnaf

Mansor Zakaria
- Advertisement -

ALOR SETAR: Bantuan RM500,000 setahun yang diperuntukkan kerajaan negeri untuk Tabung Pesakit Sejahtera, membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat yang memerlukan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mansor Zakaria berkata, peruntukan itu dapat membantu golongan asnaf (B40) untuk mendapatkan rawatan.

Justeru katanya antara hospital yang menerima manfaat itu termasuklah Hospital Sultanah Maliha (Langkawi), Hospital Kulim, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, Hospital Sultanah BAHIYAH (HSB) Alor Setar, Hospital Baling, Pejabat Kesihatan Pendang dan Kulim.

“Bantuan ini tiada had umur tetapi syaratnya anak kelahiran Kedah atau salah seorang (ibu dan ayah) kelahiran negeri ini atau mana-mana rakyat yang telah bermastautin di sini lebih daripada lima tahun,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Belanjawan 2024 negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Dalam pada itu ujar Mansor, melalui tabung berkenaan, pesakit yang layak akan dibiayai tidak lebih daripada RM3,000 termasuk kos tambang dan penginapan sepanjang menerima rawatan berjumlah RM200.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Ketil itu berkata, 103 geran rumah di Kampung Kota Nelayan, Kuala Kedah, sudah selesai dan akan dikeluarkan pada penghujung tahun hadapan.

Beliau juga memberitahu, setakat ini lesen premis rumah urut sudah ditamatkan, yang dibenarkan pusat kecantikan dan rawatan kesihatan.

Mansor turut mengucapkan tahniah kepada beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang memenangi serta menerima anugerah kecemerlangan dalam pelbagai kategori sepanjang tahun 2023.

“Kejayaan itu juga atas usaha Exco sesi lalu. Oleh itu tahniah kepada bekas Exco Kerajaan Tempatan sesi lepas termasuk kakitangan yang terlibat,” ujarnya.

Pada ucapan itu beliau menzahirkan keyakinan Kedah yang dipacu Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan lebih cemerlang pada masa akan datang serta mampu mendepani keperluan rakyat.

“Walaupun dalam masa yang sama kekangan kos sara hidup yang tinggi termasuk perbelanjaan ekoran bencana alam seperti banjir dan ribut, kerajaan negeri masih dapat memenuhi perbelanjaan yang ditetapkan.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua berjaya direalisasikan dan diyakini rakyat,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 29/11/2023

- Advertisement -