Gunapakai DTN 2022-2040 dalam ekonomi digital

Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta untuk menerangkan sejauh manakah Dasar Tenaga Negara (DTN) 2022- 2040 digunapakai dalam pembangunan ekonomi digital dalam negara ini.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata, Singapura banyak bergantung kepada negara-negara luar dalam sumber tenaga elektrik, air dan sebagainya.

- Advertisement -

Menurutnya, hasil tersebut dapat dilihat melalui beberapa syarikat multinasional (MNC) yang telah bertapak di negara tersebut mempunyai 100 pusat data dan 1195 pembekal perkhidmatan awan (cloud service provider).

“Soalan saya, sejauh manakah dasar tenaga ini digunapakai untuk ekonomi digital bagi menarik lebih banyak  MNC bertapak di negara ini; dan berapakah lebihan tenaga hijau yang kita ada yang dapat kita jual ataupun eksport ke luar negara melalui unjuran Net Zero 2050 menjelang tahun 2040?” soalnya.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Dalam jawapannya kepada soalan tersebut, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia, Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad menyatakan bahawa kerajaan akan mengenakan tarif kos reflektif (cost reflective tariff).

“Ini kerana kita bimbang tarif yang ada pada hari ini adalah tidak kos reflektif yang akan membebankan pengguna biasa yang tidak merupakan pengguna besar seperti mereka yang tinggal di rumah dan sebagainya,” katanya. 

Tambah beliau, kerajaan akan mengenakan sasaran untuk meningkatkan sumber tenaga boleh diperbaharui sebanyak 40 peratus menjelang 2040 dan 70 peratus  pada tahun 2050, yang mana tenaga tersebut akan dijual secara harga premium kepada negara Singapura. 

“Perkara sebegini boleh meningkatkan pelaburan untuk menambahkan lagi skala bekalan tenaga tersebut termasuklah bahagian teknologi,” katanya.  HARAKAHDAILY 28/11/2023

- Advertisement -