533 pasangan kahwin bawah umur, ambil kira maslahat

Mohd Asri Mat Daud
- Advertisement -

KOTA BHARU: Sebanyak 533 pasangan perkahwinan di bawah umur telah direkod di Negeri Kelantan dalam tempoh empat tahun sejak 2019.

- Advertisement -

Pengerusi Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkata, usia perkahwinan bawah umur yang dibenarkan itu bermula usia 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi wanita.

Menurut beliau, kerajaan negeri mengambil pendekatan perkahwinan bawah umur adalah wajar sebagaimana peruntukan Seksyen 8 Enakmen Keluarga Islam Kelantan 2002.

Katanya, perkara itu selaras dengan peruntukan undang-undang dan hukum syarak mengambil kira kemaslahatan pasangan bawah umur yang akan berkahwin.

“Mesyuarat Hakim-Hakim Syarie telah membuat keputusan untuk menimbang suatu tatacara dan prosedur operasi standard (SOP) yang minima (bersifat lebih memudahkan) oleh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan.

“Perkara ini mengambil kira lokaliti Kelantan yang bersempadanan dengan Thailand yang memudahkan nikah di Thailand dan mengelakkan berlakunya nikah tanpa kebenaran wali akad sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Zameri Mat Nawang (PAS-Jelawat) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini, hari ini.

Katanya, mana-mana pasangan terlibat terlebih dahulu perlu membuat permohonan kepada Mahkamah Syariah sebelum akad nikah dijalankan bagi mendapat kelulusan permohonan diterima atau ditolak.

Bagaimanapun katanya, mengenai kemaslahatan perkahwinan pasangan bawah umur hendaklah dinilai melalui penelitian menyeluruh daripada aspek kerelaan pasangan dan kesediaan mendirikan rumahtangga seperti kemampuan, emosi, fizikal, mental, seksual, sosial, spiritual, kesihatan, pendidikan, sekufu dan sebagainya.

Katanya, soal kemampuan juga diambil kira berkait rapat dengan kekuatan sokongan dan persediaan awal oleh ibu bapa, kematangan dalam membuat keputusan dan keupayaan mereka melaksanakan peranan sebagai ibu bapa. – HARAKAHDAILY 28/11/2023

- Advertisement -