‘Peruntukan buat MP bukan sebagai ‘alat penjilat’ PM’

Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani dikatakan memberi penekanan berkaitan sifat ehsan, adil dan terbuka menerima kerjasama dengan pelbagai pihak.

Dato’ Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, peruntukan kepada wakil rakyat di parlimen akan diberi sama rata dalam dokumen Harapan-Kita Boleh yang dikeluarkan oleh Pakatan Harapan (PH) semasa tempoh berkempen.

- Advertisement -

“Saya ingin memetik kata-kata dalam dokumen Harapan-Kita Boleh yang menyebut Harapan bakal menyediakan dana pembangunan kawasan pilihan raya (CDF) sama rata kepada semua wakil rakyat parlimen tanpa mengira parti.

“Ini kerana mereka mewakili kepentingan rakyat di kawasan tersebut dan peruntukan dana juga perlu disalurkan melalui parlimen bukannya pejabat Perdana Menteri (PMO),” katanya ketika Sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau juga memetik keratan dari laman Malaysia Kini bertajuk, Perdana Menteri (PM) lebih baik beri peruntukan terus kepada rakyat bukan kepada Ahli Parlimen (MP) yang mencerca kerajaan.

“Begitu juga dalam laporan akhbar Berita Harian bertarikh 26 November, PM mempersoal kenapa perlu salurkan peruntukan kepada ahli parlimen cerca kita.

“Apa maksud cerca, jika tidak perlukan pembangkang, sila buat undang-undang yang tidak perlu pembangkang kerana ia berkaitan dengan peruntukan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Takiyuddin berkata, peruntukan tersebut digunakan untuk kepentingan rakyat tanpa mengira latar belakang parti bukan sebagai alat pembodek.

“Setujukan saya kata bahawa bukankah peruntukan CDF ini merupakan peruntukan untuk pembangunan kawasan, bukannya peruntukan untuk pembangunan kawasan penyokong kerajaan sahaja.

“Bukankah peruntukan ini juga digunakan untuk pembangunan rakyat di kawasan itu tanpa mengira latar belakang politik bukan sebagai alat untuk menyanjung, membodek dan ‘menjilat’ Perdana Menteri (Putrajaya),” katanya.  HARAKAHDAILY 28/11/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!