Usaha majukan agropelancongan Tanjong Karang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyatakan usaha membangunkan kegiatan agropelancongan di kawasan Tanjong Karang.

Kapten (B) Dato’ Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) berkata, program agropelancongan mendapat tempat yang berharga bukan sahaja di hati masyarakat tempatan tetapi antarabangsa.

- Advertisement -

Menurutnya, Ketua Pengarah Kementerian Pelancongan menjangkakan bahawa pada tahun ini, hampir 18.1 juta pelancong datang mengunjungi negara ini dengan Muzium Padi di Sekinchan menjadi antara tumpuan pelancong.

Katanya, antara pelancong yang melawat kawasan itu adalah dari Taiwan, Jerman dan Korea Selatan.

Beliau juga menyatakan bahawa kenderaan ATV dan pakej inap desa (homestay) menjadi antara tarikan pelancongan.

“Soalan saya, adakah kerajaan membuat sebarang perancangan untuk membantu melestarikan industri pelancongan di kawasan penanaman padi, terutama di kawasan Tanjong Karang?” katanya ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau juga bertanyakan kerjasama antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk membantu pengusaha tempatan menambahkan pendapatan melalui agropelancongan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, terdapat Taman AgroTeknologi MARDI yang merupakan pusat agropelancongan di Tanjong Karang.

“Di sana pelawat dapat merasai pengalaman bercucuk tanam dan macam mana nak mengayuh sampan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga akan menyediakan geran agropelancongan yang setiap pemohon boleh mendapat sebanyak RM200,000. – HARAKAHDAILY 22/11/2023

- Advertisement -