Apa pendirian kerajaan AS lulus RUU Pencegahan Pembiayaan Hamas

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu berkaitan dengan Palestin masih dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

- Advertisement -

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal meminta Perdana Menteri menyatakan apakah pendirian kerajaan berhubung tindakan terkini Dewan Perwakilan Amerika Syarikat yang meluluskan Rang Undang-Undang Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas untuk mengenakan sekatan terhadap pihak luar yang menyokong Hamas serta pergerakan Jihad Islam Palestin.

Beliau mengemukakan soalan itu pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri.

Soalan daripada ahli-ahli parlimen PERIKATAN NASIONAL pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan hari ini sebagaimana di bawah.

Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee [Beluran] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah status terkini Keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan apakah usaha Kementerian untuk mempertingkatkan keupayaan aset serta tahap penguatkuasaannya dalam mendepani ancaman keselamatan sempadan.

Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff [Rantau Panjang] minta Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi menyatakan inisiatif pihak Kementerian dalam membangunkan ekonomi golongan rentan termasuk ibu tunggal khususnya mereka yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi [Kuala Langat] minta Menteri Kesihatan menyatakan:

(a) status program perintis PrEP (Preexposure Prophylaxis) sehingga kini; dan

(b) bilakah program ini akan dilanjutkan ke pusat kesihatan yang lain.

Tuan Zakri bin Hassan [Kangar] minta Menteri Pendidikan menyatakan perancangan Kementerian untuk mewujudkan Kolej Tingkatan 6 di negeri Perlis.

Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Abdullah [Langkawi] minta Menteri Kesihatan menyatakan status kelulusan kajian ganja dan ketum untuk kegunaan dalam perubatan.

Dato’ Haji Abdul Khalib bin Abdullah [Rompin] minta Menteri Pengangkutan menyatakan adakah pihak Kementerian menjalankan kajian kesesakan jalan raya kerana kesesakan dilihat sering berlaku pada waktu cuti perayaan dan cuti hujung minggu yang boleh mengganggu perjalanan pengguna-pengguna jalan raya yang merupakan rakyat dan pengundi-pengundi yang memilih Kerajaan sedia ada.

Dr. Radzi Jidin [Putrajaya] minta Menteri Kewangan menyatakan:

(a) adakah Kerajaan telah menjalankan kajian terperinci berkaitan implikasi pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal (CGT) terhadap saham tidak tersenarai; dan

(b) apakah garis masa cadangan pelaksanaan CGT dan berapakah unjuran peningkatan hasil daripada pelaksanaan CGT.

Dato’ Azman bin Nasrudin [Padang Serai] minta Menteri Kesihatan menyatakan isu kekurangan ambulans. Apakah Kementerian sedar keadaan ambulans di daerah Kulim yang uzur seperti di Klinik Kesihatan Taman Selasih, Kulim pernah ada banyak keadaan kenderaan selalu rosak. Apakah langkah Kementerian menangani isu ini.

Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin [Tangga Batu] minta Menteri Perladangan Dan Komoditi menyatakan usaha-usaha yang telah dan akan dilakukan bagi menggalakkan pengeluaran lateks di Sabah dan Sarawak di mana data menunjukkan Sabah sahaja mempunyai sebanyak 199,000 hektar tanaman getah dan berpotensi besar untuk menghasilkan lateks.

Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin [Jerantut] minta Menteri Pengangkutan menyatakan relevensi Perbadanan Aset Keratapi (RAC) di enam negeri dengan jumlah keluasan hampir 370 ekar ditawarkan kepada swasta untuk dibangunkan, dan bukannya kepada GLC-GLC sekiranya ianya demi menjana pendapatan negara.

Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti Samsudin [Masjid Tanah] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah kertas siasatan (IP) yang dibuka bagi kes menghendap di bawah Undang-undang Anti-Menghendap semenjak ia berkuatkuasa dan berapakah jumlah perintah perlindungan (PO) yang dikeluarkan bagi kes menghendap di bawah Undang-undang Anti-Menghendap semenjak ianya berkuat kuasa.           

Tuan Hassan bin Saad [Baling] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan dengan terperinci isu-isu berkaitan aspek 3R (Race, Religion, Royalty) yang sehingga sekarang masih tiada panduan terperinci berkenaannya.

Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor [Temerloh] minta Menteri Pendidikan menyatakan:

(a) hasil kaji selidik lapangan melibatkan ibu bapa, guru dan pelajar mengenai kesesuaian silibus pendidikan dengan umur pelajar-pelajar di peringkat rendah dan menengah; dan

(b) adakah Kementerian telah mengenal pasti kesan silibus yang dijalankan sekarang kepada tahap pendidikan pelajar secara holistik merangkumi aspek akademik, akhlak dan kesihatan mental. Nyatakan kesan yang telah diterima bermula tahun 2017 sehingga 2023.

Tuan Sabri bin Azit [Jerai] minta Menteri Pendidikan menyatakan laporan berkenaan pencapaian Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 daripada sudut prestasi intelektual murid memandangkan peperiksaan besar seperti UPSR dan PT3 sudah dimansuhkan.

Tuan Rushdan bin Rusmi [Padang Besar] minta Menteri Kewangan menyatakan sejauh mana Kementerian bersungguh-sungguh dalam memperkenalkan sistem percukaian baharu dan adakah Kementerian telah memanggil pakar-pakar percukaian terutama pakar percukaian Islam.

Dr. Radzi Jidin [Putrajaya] minta Menteri Kewangan menyatakan rasional arahan Menteri Kewangan supaya pegangan pelaburan KWSP di luar negara dikurangkan daripada 36% kepada 30% bagi meningkatkan pelaburan dalam negeri KWSP kepada sekurang-kurangnya 30%. Berapakah peratusan pegangan pelaburan KWSP di luar negara pada ketika ini.

Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun [Hulu Selangor] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan tindakan Kerajaan dalam mengatasi kebanjiran warga asing di seluruh negara yang melibatkan diri dalam perniagaan, memiliki penempatan dan menguasai fasiliti sehingga menimbulkan kerisauan dan ketakutan kepada warga tempatan.

Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin [Jerantut] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan adakah pihak Kerajaan bersetuju sekiranya Pondok Polis Kuala Tahan dinaik taraf menjadi balai polis agar keahlian anggota polis yang bertugas di sana boleh bertambah berikutan dengan peningkatan jumlah penduduk sehingga 6000 orang dan adanya kehadiran pelancong bercuti di Kuala Tahan.

Tuan Roslan bin Hashim [Kulim Bandar Baharu] minta Menteri Pengangkutan menyatakan adakah Kerajaan berhasrat untuk meneliti semula cadangan pembangunan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) supaya projek ini dapat direalisasikan sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada ekonomi dan masyarakat setempat.

Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Mohd. Yassin [Pagoh] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan status terkini mengenai isu Kalimah Allah, dan tindakan susulan Kerajaan selepas cadangan penyelesaian kepada Majlis Raja-Raja Melayu disembah maklum pada bulan Julai. Apakah sudah ada keputusan tindakan yang muktamad. – HARAKAHDAILY 7/11/2023

- Advertisement -