Solidariti Palestin yang tidak masuk akal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menyangkakan akan adanya penerangan yang baik daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada ahli parlimen dan segelintir masyarakat yang tidak menyokong Minggu Solidariti Palestin dilaksanakan di sekolah berikutan kenyataan medianya bertajuk ‘Naratif Islamofobia DAP’.

- Advertisement -

Namun, Presiden GAMIS, Wan Muhammad Arif Wan Bazli Fariz berkata,  rupa-rupanya jauh panggang dari api, garis panduan Do’s dan Don’ts yang ketat pula dinaikkan di halaman muka buku Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Katanya, GAMIS begitu terkilan dengan garis panduan yang keterlaluan itu kerana dilihat begitu ingin menjaga hati atau hubungan dengan pihak tertentu, atau seakan-akan takut berpihak kepada kebenaran.

Hal itu, ujarnya merujuk kepada senarai Don’ts ke-6 yang menyatakan ‘Jangan hanya menonjolkan perspektif satu pihak dengan cuba untuk memberikan gambaran yang berimbang tentang situasi’ dan ke-7, iaitu ‘Elakkan penggunakan simbol atau ikon termasuklah bendera, slogan, atau gambar yang boleh menimbulkan kontroversi kerana mungkin menyinggung perasaan pihak lain.’

“Adakah belum cukup bukti di hadapan kita, sehingga belum jelas yang mana yang tertindas dan yang mana pengganas?” ujarnya dalam satu kenyataan.

GAMIS juga, katanya kecewa terhadap beberapa sekolah yang naik kepala apabila bukan sahaja telah melarang daripada membawa bendera Palestin semasa program solidariti, malah melarang daripada melaungkan takbir dan berdoa qunut nazilah.

“Sungguh tidak masuk akal!” tegasnya.

Justeru, katanya GAMIS menuntut penjelasan daripada sekolah-sekolah tersebut, atas dasar apa sebenarnya larangan ini dan siapakah dalangnya.

“Adakah kita benar-benar berada di Malaysia di mana agama Islam adalah agama persekutuan?

“Dan apa sebenarnya yang hendak disolidaritikan dengan garis panduan atau larangan yang tidak munasabah seperti ini?” katanya lagi.

Beliau menambah, atas dasar keprihatinan, GAMIS mewakili mahasiswa ingin menasihati KPM dan pentadbiran sekolah dengan memetik sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Akan senantiasa ada dari umatku ini orang-orang yang menegakkan kebenaran, tidak akan merugikan mereka orang-orang yang menyelisihi atau yang memusuhi mereka”.

“Semoga kita berada di dalam kelompok ini. Bertegaslah, usah berasa serba salah dalam menegakkan yang hak dan menentang yang salah,” tambahnya.

GAMIS juga, katanya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia bersatu hati dalam memperjuangkan hak saudara di Palestin serta tidak berputus harap mendoakan kemenangan mereka. – HARAKAHDAILY 1/11/2023

- Advertisement -