Kelantan promosi toleransi terhadap agama lain

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sejak era pentadbiran Allahyarham Tan Sri Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Kelantan serius mempromosikan sikap hormat dan toleransi terhadap agama-agama lain.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri sangat menghormati agama-agama tersebut dan berusaha memperkukuhkan hubungan yang positif dengan komuniti agama lain di Kelantan.

Katanya perkara itu juga diterjemahkan pada kunjungan Kardinal Keuskupan Katolik Penang ke Kelantan bagi mencapai persefahaman dan keharmonian antara agama, terutamanya Islam dan Kristian.

“Kita percaya kunjungan Kardinal Keuskupan Katolik Penang sebagai langkah positif dan kami harap agar usaha tersebut terus berkembang dan memberikan manfaat kepada semua pihak,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.

Kunjungan rombongan Kardinal Keuskupan Katolik Penang diketuai Dato’ Seri Sebastian Francis disambut Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.

Hadir sama anggota-anggota Exco kerajaan negeri dan Pengerusi Dewan Himpunan Pendukung PAS Kelantan Lim Guan Seng. Pertemuan itu diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar di JKR 10.

Dr Fadzli juga berkata, banyak isu dibincang pada pertemuan itu termasuk konsep kepelbagaian masyarakat, toleransi dan sikap hormat-menghormati antara agama.

Selain itu turut disentuh isu-isu kemanusiaan di Palestin.

“Terima kasih kepada Kardinal Keuskupan Katolik Penang di atas kunjungan tersebut. Semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada kita semua dalam usaha mempromosikan keharmonian dan pemahaman antara agama-agama,” ujarnya.

Sementara itu Menteri Besar berkata, kehormonian rakyat pelbagai kaum Kelantan di bawah pentadbiran Membangun Bersama Islam merupakan tarikan utama perkongsian dalam pertemuan bersejarah tersebut. – HARAKAHDAILY 1/11/2023

- Advertisement -