Bolivia negara pertama putuskan hubungan diplomatik dengan Israel 

María Nela Prada (kiri) dan Naib Canselor, Freddy Mamani Mamacha, mengumumkan keputusan Bolivia memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel dalam satu sidang media di La Paz, Bolivia pada 31 Okt 2023. (FOTO: PeopleDispatch.org)
- Advertisement -

LA PAZ, Bolivia: Bolivia telah menjadi negara pertama di dunia yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel impak konflik terbaru Zionis dengan Hamas, dengan kerajaan sayap kiri negara Amerika Selatan itu mengaitkan keputusannya dengan dakwaan jenayah perang dan pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan tentera Israel di Semenanjung Gaza.

Keputusan itu diumumkan pada sidang akhbar pada petang Selasa (31 Okt) oleh María Nela Prada, seorang menteri dalam pentadbiran Presiden, Luis Arce.

- Advertisement -

“Kami menuntut dihentikan serangan di Semenanjung Gaza yang setakat ini telah meragut lebih 8,000  nyawa orang awam dan menyebabkan pemindahan secara  paksa penduduk Palestin,” kata  Prada kepada pemberita di ibu negara de facto negaranya, La Paz, lapor The Guardian.

Timbalan Menteri Luar Bolivia, Freddy Mamani Machaca pula berkata keputusan itu mewakili apa yang dilabelkan sebagai ‘penolakan dan kecaman terhadap serangan tentera Israel yang agresif dan tidak seimbang di Semenanjung Gaza dan ancamannya terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa’.

Tindakan Bolivia itu dibuat selepas bekas Presiden,  Evo Morales menggesa negaranya memutuskan hubungan dengan Israel kerana situasi mengerikan yang dihadapi rakyat Palestin. 

Perdana Menteri Bolivia, Luis Acre. (FOTO: Opinon Bolivia)

Morales dalam kenyataannya di platform X, pada awal bulan ini menuntut Israel diklasifikasikan sebagai ‘negara pengganas’ dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu serta ‘rakan-rakan sejenayahnya’ (merujuk kepada negara-negara yang menyokong Israel terutama Amerika Syarikat dikecam dan dibawa ke ke mahkamah jenayah antarabangsa atas kesalahan jenayah  pembunuhan beramai-ramai dan perang di Gaza.

Bolivia sebelum ini memutuskan hubungan dengan Israel pada 2009 selepas Zionis  menceroboh Semenanjung Gaza tetapi menjalin semula hubungan pada 2020 di bawah Presiden sayap kanan, Jeanine Áñez.

Bolivia bukanlah negara Amerika Selatan pertama yang menyatakan kemarahan terhadap reaksi Israel terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober lalu.

Evo Morales melabelkan Israel sebagai ‘negara pengganas’. (FOTO: BBC)

Presiden sayap kiri Colombia, Gustavo Petro, baru-baru ini menyamakan tindakan Israel dengan tindakan Nazi Adolf Hitler, yang mendapat reaksi  daripada kementerian luar Israel, menuduhnya meletakkan nyawa orang Yahudi dalam bahaya dan menggalakkan apa yang dilabalkannya sebagai  ‘tindakan ngeri pengganas Hamas’ dengan ‘bermusuhan serta  kenyataan berbaur antisemitik’.

Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva pula pada minggu lalu mengkritik apa yang disebutnya sebagai ‘kegilaan Perdana Menteri Israel  ingin memusnahkan Semenanjung Gaza tetapi lupa bahawa terdapat bukan sahaja tentera Hamas di sana tetapi juga wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa utama  dalam peperangan ini’.

“Hanya kerana Hamas melakukan tindakan serangan terhadap Israel, ia tidak bermakna Israel perlu membunuh berjuta-juta orang awam yang tidak bersalah di Gaza,” tambah Lula dalam wawancara lain pada ketika itu.

Presiden Brazil, Gustavo Petro menyamakan tindakan Israel menyerang dan membunuh penduduk Gaza menyamai tindakan Nazi Adolf Hitler. (FOTO: AFP/Getty Images)

Pada petang Selasa (31 Okt), selepas laporan bahawa berpuluh-puluh orang telah terbunuh oleh serangan udara Israel di sebuah kem pelarian di utara Gaza, Lula menulis tweet: “Buat pertama kali, kita menyaksikan perang di mana majoriti yang mati adalah kanak-kanak … Berhenti! Demi cinta Tuhan, berhentilah!”

Presiden Chile, Gabriel Boric juga mengumumkan beliau telah memanggil semula duta negaranya di Tel Aviv untuk membincangkan mengenai apa yang dikatakan sebagai ‘pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang tidak boleh diterima’ yang menurutnya Israel dilakukannya di Semenanjung Gaza.

Boric berkata, lebih 8,000 orang awam mangsa serangan Israel – kebanyakannya wanita dan kanak-kanak – menunjukkan bahawa operasi ketenteraan adalah mewakili ‘hukuman kolektif terhadap penduduk awam Palestin di Gaza’.

Presiden Colombia, Petro pula berkata beliau juga telah memanggil semula dutanya berhubung pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin yang dilakukan Israel. – HARAKAHDAILY 1/11/2023

- Advertisement -