Manfaatkan Dana Wakaf Air selesai masalah air

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memanfaatkan Dana Wakaf Air yang masih banyak untuk menyelesaikan masalah bekalan air di luar bandar.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata, dana itu mempunyai tidak kurang RM2 juta juga diberikan secara percuma dan bukan pinjaman.

- Advertisement -

Namun, katanya hanya kira-kira 57.5 peratus Dana Wakaf Air digunakan untuk Sabah dan Sarawak, iaitu sebanyak empat projek, dua projek di Sabah dan dua projek di Sarawak.

“Di Sabah, 60 peratus Kadar Air Tidak Terhasil (NRW) paling tinggi di Malaysia. Pendekatan Dua gagal, hanya satu atau dua negeri berjaya (menggunakan pendekatan itu).

“Apakah kerajaan tidak berhasrat menyemak kembali kerana pada zaman kita (pentadbiran kerajaan PERIKATAN NASIONAL), kita cuba menyemak kembali tentang Pendekatan Dua bagi mengurangkan kadar NRW,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Melalui Pendekatan Dua, Kerajaan Pusat menyediakan peruntukan sebanyak RM1.371 bilion dalam bentuk geran sepadan bagi membantu operator air menangani masalah NRW dengan lebih berkesan dan mampan, melibatkan negeri dengan kadar NRW kurang daripada 40 peratus iaitu Melaka, Pulau Pinang, Johor, Negeri Sembilan, Perak, Terengganu dan Selangor.

Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS berkata Sabah dan Sarawak adalah antara negeri yang belum berpindah ke Perbadanan Aset Air Negara.

Katanya, ini menyebabkan semua pembiayaan bekalan air di kedua-dua negeri hanya dalam bentuk pinjaman, bukan geran seperti negeri lain.

“Jika Sabah dan Sarawak bermigrasi, semua pembiayaan projek bekalan air luar bandar adalah melalui geran Persekutuan. Soalan saya apakah Sabah dan Sarawak tidak pertimbangkan supaya bersama (bermigrasi) dengan negeri lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/10/2023

- Advertisement -