Nenek 25 cucu sebak dipilih Naqibat Pelatih Terbaik APSA

- Advertisement -

NENEK kepada 25 orang cucu dan ibu kepada 11 anak, tidak menghalang Faridah Kamaruddin untuk mendalami ilmu menerusi Akademi Pengajian Saidatina Aisyah (APSA).

- Advertisement -

Dalam debaran pada Konvokesyen Naqibat APSA kali ketiga yang diadakan di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar, Sabtu lalu, beliau terkejut dan menangis ketika diberitahu oleh sahabatnya, dia terpilih sebagai Naqibat Pelatih Terbaik APSA Pahang.

Beliau terus membuka buku Majlis Istiadat Konvokesyen APSA dan didapati berita itu benar dan airmatanya terus mengalir bagaikan tak mahu berhenti.

“Apalah yang dapat difikir di saat itu selain bersyukur atas ketetapan Allah SWT atas anugerah ini. Terasa kerdilnya diri, tak layaknya diri dan terasa malunya menerima ucapan tahniah daripada sahabat-sahabat sekeliling,” katanya.

Lantas dia teringat kepada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Siapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan mudahkan baginya jalan menuju syurga.”

Baginya, hadis Nabi SAW itu yang selama ini menjadi pengangannya, menyentap seluruh sarafnya dan dia kembali sedar bahawa kejayaan itu adalah satu anugerah dan ujian.

Beliau terus berkongsi berita itu kepada suami dan anak-anak tercinta yang banyak memberi bantuan dan semangat sepanjang belajar pada ketika usia menjengah 64 tahun.

Faridah sangat bersyukur di atas pilihannya yang tepat dan tidak salah mendaftar sebagai pelajar APSA batch kedua bagi negeri Pahang pada tahun 2019. Dia banyak terlibat dengan gerak kerja pengurusan, dakwah dan tarbiah parti, jadi dia mencabar diri walau payah tapi akan terus gagah bersaing dengan cabaran terkini dunia pendidikan dan pembelajaran untuk melengkapkan dirinya dengan ilmu kemahiran dan kefahaman Islam.

Semasa di APSA, kekuatan daya pemikirannya dan kesungguhannya sangat tercabar. Beliau tidak mahu mengaku kalah dan lemah disebabkan oleh usia tuanya. Dia meningkatkan munajat di waktu-waktu mustajab berdoa, agar Allah SWT jadikan keupayaan berfikirnya sama seperti cerapan otak orang muda-muda.

Dia terus bangkit walaupun jauh di sudut hatinya yang dalam tahu yang segala yang dia ada semakin dimamah usia. Dia pejam mata dari melayan semua bisikan-bisikan negatif tersebut dan terus nekad “aku boleh, Allah ada!”

Bertitik tolak dari hari itu, dia berubah menjadi seperti iron women. Dia membawa alat perakam suara di setiap kuliah di samping menulis satu-satu nota dari kefahaman pengajaran pensyarah-pensyarah. Selebihnya dia tawakal kepada Allah SWT.

Dia pernah hampir menyerah di saat lambakan assignment, kertas kerja, laporan kajian di lapangan, kerja-kerja ICT, diskusi dan forum dan lain-lain di samping gerak kerja jemaah yang mesti dibereskan tanpa kecuali.

 “Alhamdulillah, hasil doa suami, anak-anak, pensyarah-pensyarah, sahabat-sahabat dan yang utamanya, anugerah pertolongan Allah SWT, terbuka semula jalan untuk saya kembali bangkit menuju garis penamat dan kejayaan,” tambahnya

Beliau menyatakan lagi, bahawa mehnah dan ujian hendaklah dilalui dengan ingat banyak-banyak kepada Allah SWT, ikhlaskan hati, tenang, berjiwa besar dan doa. Banyak hikmah yang dapat dipraktikkan seperti dulu tak tahu apa itu canva, sekarang sudah mahir menggunakannya. Dulu tak tahu tentang undang-undang keluarga Islam, sekarang sudah tahu asasnya malah di APSA juga diajar tentang fiqh wanita, usul fiqh dan macam-macam lagi.

Menurutnya, satu yang dia tidak pernah lupa dan kekadang senyum sendirian, semasa menjawab peperiksaan online. Dia tiba-tiba jadi buntu dan tidak boleh berfikir. Apa yang harus dilakukan untuk keluar dari dilema ini? Dia menangis dan mengharap sesuatu dari Allah SWT. Allah datangkan suami memberi semangat, hingga ingat lagi suami siap belikan teh ais dan karipap dan anak pula kata, ‘mak boleh’.

“Sungguh indah APSA ini dan apa-apa sahaja nama tempat pembelajaran. Dalam situasi begitu, Allah hulurkan pertolongan dan dapat menjawab semua soalan dengan sempurna dan terbaik. Alhamdulillah.

“Yang penting, siapa pun kita, kita kena bina hubungan baik dengan Allah SWT, Kembali kepada Allah SWT dalam apa sahaja keadaan dan jangan lalai atau futur. Pencinta ilmu kena kuat dan sabar menanggung keperitan dalam belajar,” sambungnya

Akhirnya, beliau menyeru semua muslimat PAS agar jangan takut masuk APSA. Jom mendaftar.

“Kita serikandi perjuangan yang terpaksa berdepan dengan dunia yang tanpa sempadan terutama generasi muda, kalian kuat dan boleh. Allah ada! Jangan kita dikalahkan oleh musuh Allah SWT dan musuh kita kerana jahilnya kita.

“Dan terima kasih juga kepada pengarah APSA Pahang, semua pensyarah-pensyarah dan pengurus APSA Pahang cawangan Kuantan, suami, anak-anak dan sahabat-sahabat yang sama saling bantu membantu sepanjang pengajian,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/10/2023

- Advertisement -