Kerajaan perlu pastikan harga ayam tidak naik mendadak

Subsidi dan kawalan harga ayam bakal ditamatkan berkuat kuasa esok, 1 Nov 2023. (FOTO HIASAN)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa agar melaksanakan pemantauan yang ketat dan telus terhadap pelarasan purata harga jualan ayam bagi memastikan tidak berlaku kenaikan harga yang mendadak atau penurunan harga yang tidak munasabah.

Penganalisis Sosio-ekonomi di Pusat Penyelidikan Strategik, Ahmad Fauzi Mustafa, berkata demikian susulan pengumuman Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu tentang penamatan subsidi dan kawalan harga ayam bakal berkuat kuasa  esok, 1 Nov. 

“Rasional penamatan subsidi secara pukal bagi ayam adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi, di mana pada ketika ini yang turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.

- Advertisement -

“Penamatan subsidi ayam ini telah mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam telah mula stabil, yang menyumbang kepada harga pasaran semasa kini berada di bawah harga siling,” jelasnya kepada HarakahDaily.

Ahmad Fauzi berkata pada masa ini, rakyat berharap pelaksanaan apungan harga ayam ini memberi peluang kepada peniaga ayam untuk menawarkan harga yang lebih kompetitif sekaligus memberi pilihan kepada golongan pengguna.

Ahmad Fauzi Mustafa

“Pada masa ini, rakyat menaruh harapan bahawa jangkaan harga ayam akan lebih murah sebaik subsidi dan kawalan harga ayam terbaharu bermula esok, 1 Nov. 

“Rakyat juga mahukan harga paling rendah ditawarkan dan pada waktu yang sama, ayam yang dibekalkan untuk jualan kepada para pengguna adalah yang berkualiti,” tegasnya. 

Tambah beliau lagi, rakyat sebenarnya menunggu-nunggu pelaksanaan  ini dilaksanakan oleh pihak kerajaan.  

“Hal ini kerana, rakyat berasa ada keuntungan, peniaga pun berasa wujud  benda yang sama (untung) dan aliran ekonomi dalam industri ayam ini akan berkembang dan stabil,” ujarnya.

Namun begitu, katanya lagi, walaupun masih ada sifat kebimbangan dengan pemansuhan subsidi ini, tetapi rakyat memang mengharapkan harga ayam akan menjadi murah kerana banyak barangan asas lain yang kini meningkat naik dari aspek harganya.

“Malahan, ada beberapa barangan asas yang masih mengalami pengurangan stok terutamanya di kawasan tertentu seperti kesukaran mendapatkan bekalan minyak masak, gula dan beras tempatan dalam keadaan ekonomi negara yang masih belum pulih sepenuhnya,” hujah beliau.

Isu harga dan masalah kekurangan bekalan telur ayam masih berleluasa di Malaysia pada ketika ini. (FOTO HIASAN)

Justeru, Ahmad Fauzi menegaskan agar pemansuhan yang akan dilaksanakan oleh pihak kerajaan tersebut diharapkan tidak memberi impak negatif kepada para peniaga dan pembeli ayam di masa hadapan.

Katanya lagi, beliau percaya kementerian yang bertanggungjawab itu telah pun membuat kajian dapatan yang menyokong akan keputusan berkenaan.

Namun begitu, di sini beliau turut mempersoalkan mengenai harga telur ayam kerana pada masa kini, harga bagi telur ayam masih berada dalam kawalan.

“Pihak kementerian berkenaan perlu berterusan  memantau dan memastikan bekalan stok telur ayam tidak lagi mengalami gangguan seperti sebelum ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/10/2023