Wartawan Israel, Palestin, Lubnan maut di medan konflik Gaza

Wartawan yang gugur di medan liputan berita dalam konflik perang Israel-Hamas termasuklah (dari kiri), Mohammed Imad Labad, Roshdi Sarraj, dan Yaser Murtaja.
- Advertisement -

SEMENANJUNG GAZA: Sekurang-kurangnya 24 wartawan antara lebih 6,000 nyawa yang terkorban dalam perang berterusan antara Zionis Israel dan Hamas yang masuk hari ke-20 pada hari ini (26 Okt), sejak perang mula meletus sejak 7 Okt lalu.

Menurut statistik terbaharu yang dikeluarkan Jawatankuasa Melindungi Wartawan atau  Committee to Protect Journalists (CPJ), sebagai tambahan kepada korban paling banyak meragut orang awam di rantau ini, konflik di Gaza telah mengakibatkan regangan paling maut bagi wartawan di Israel dan wilayah yang diduduki sejak jawatankuasa itu mula menjejaki kematian wartawan pada 1992.

- Advertisement -

Pengarah kecemasan NPJ, Lucy Westcott, memberitahu NPR, daripada dua dozen wartawan yang telah meninggal dunia, 20 adalah warga Palestin, tiga warga Israel dan seorang warga Lubnan. 

“Sekurang-kurangnya lapan wartawan lain dilaporkan cedera, manakala tiga lagi dipercayai hilang atau ditahan,” dedahnya. 

Kali terakhir wartawan menghadapi bahaya yang semakin memuncak di Israel ialah ketika Intifada Kedua pada awal 2000-an apabila lebih 4,300 orang awam terkorban dalam pertempuran selama lebih empat tahun. 

CPJ telah mendokumentasikan kematian 13 wartawan pada masa itu –  jumlah yang kini diatasi oleh konfik terkini di Gaza.

“Ini (konflik di Gaza) tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata Westcott.

Wartawan Shireen Abu Akleh maut ditembak tentera Israel ketika sedang bertugas membuat liputan berita pada tahun lalu.

“Jumlah terkini yang dicatat CPJ berkemungkinan lebih banyak, kerana pihak kami  juga sedang menyiasat sekurang-kurangnya 100 laporan tambahan mengenai wartawan yang terbunuh, hilang, ditahan atau diancam dalam konflik Hamas-Israel ini. 

“Antara kes itu ialah laporan kerosakan yang dilakukan terhadap pejabat dan rumah wartawan.

“Berdasarkan laporan awal, kami juga menganggarkan 48 kemudahan media di Gaza telah dipukul atau musnah,” tambah Wescott.

Kes Mohammed Imad, Roshdi Sarraj, Yaser Murtaja

Terdahulu, Persatuan Wartawan Arab dan Timur Tengah (AMEJA) mengeluarkan kenyataan minggu ini mengutuk pembunuhan wartawan baru-baru ini di wilayah Palestin, Israel dan Lubnan.

“Mensasarkan wartawan adalah satu pencabulan terhadap kebebasan media dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa,” ujar AMEJA dalam satu kenyataan. 

Tujuh wartawan Pelestin terkorban selepas Zionis Israel melakukan pengeboman secara besar-besaran ke atas bangunan media di Gaza. (FOTO: Muslim Care Malaysia Society)

“AMEJA menyeru kebertanggungjawaban berdasarkan penyiasatan pantas, teliti dan telus terhadap pembunuhan rakan wartawan kami,” tambah kenyataan organisasi tersebut.

Sementara, Persatuan Akhbar Asing (FPA)  menyeru kedua-dua pihak Israel dan Hamas ‘untuk memastikan keselamatan dan kebebasan’ dalam membuat liputan konflik di Gaza, yang tetap tegar melaporkan berita walaupun dalam keadaan yang sangat berbahaya.

Selanjutnya, organisasi itu menyeru semua pihak berkuasa untuk memastikan keselamatan wartawan di dalam Israel, di mana wartawan telah tertakluk kepada penderaan lisan dan fizikal oleh orang awam dan pasukan keselamatan dalam beberapa kesempatan.”

“Wartawan Palestin yang terbunuh berpangkalan di Gaza dan sangat penting untuk pemahaman dunia tentang apa yang berlaku di bumi di Gaza,” kata Westcott.

Wartawan Israel Frey kini berada dalam persembunyian selepas menjadi buruan ‘orang-orang kanan’ Zionis Israel.

Terbaharu, CPJ mengemas kini jumlahnya pada hari Rabu (25 Okt) untuk menggambarkan kematian Mohammed Imad Labad, seorang wartawan dari laman web berita Yayasan Al Resaya.

Mangsa terbunuh dalam serangan udara Israel di kejiranan Sheikh Radwan di bandar Gaza pada Isnin (23 Okt) lalu.

Sehari sebelum itu, pada Ahad (22 Okt), wartawan Palestin, pembuat filem dan pengasas bersama Ain Media, Roshdi Sarraj terbunuh dalam serangan udara Israel di Gaza, yang mana organisasi media telah melabelkan Sarraj sebagai ‘seorang wartawan foto dan pembikin  filem yang cemerlang’.

“Kematiannya berlaku lima tahun selepas pembunuhan pengasas bersama Ain Media, Yaser Murtaja, oleh tentera Israel di sempadan Semenanjung Gaza,” ujar Ain Media dalam satu kenyataan. 

Selepas pada mulanya mengatakan mereka akan membuka siasatan ke atas kematian mangsa, pegawai Israel kemudiannya mendakwa Murtaja adalah pejuang Hamas – satu dakwaan yang telah dinafikan keluarga dan rakan-rakan sekerjanya.

Setiap detik sangat berisiko bagi wartawan yang membuat liputan di Palestin angkara kekejaman Zionis Israel.

“Dengan pembunuhan Roshdi, Ain Media kehilangan satu lagi aset  berharga dalam ‘jiwa organisasi media ini.

Pada 2012, Yasser dan Roshdi, bekerjasama alam projek dokumentari foto tentang kehidupan seharian di Semenanjung Gaza, bukan tentang kematian. 

“Gaza adalah tentang kehidupan. Roshdi dan Yaser adalah kehidupan.. mereka memberi suara kepada penduduk Gaza, kepada senyuman mereka, kepada cerita-cerita yang terkunci dalam ketakutan, kepada harapan yang disimpan secara rahsia daripada penindasan pendudukan Israel,” tambah kenyataan Ain Media itu.

Kematian Sarraj dan rakan-rakan media lain menggariskan risiko yang dihadapi wartawan yang berpangkalan di Gaza. 

Kawasan itu telah tertakluk kepada serangan udara berterusan oleh Israel sebagai tindak balas kepada serangan 7 Okt.

Orang ramai mengadakan solat jenazah wartawan Palestin, Yusef Abu Hussein yang terkorban dalam serangan udara di Gaza pada 19 Mei 2021.

Kes tujuh wartawan terbunuh

“Keselamatan wartawan tempatan dan jurufoto bebas amat berisiko, kerana mereka bukan sahaja kekurangan sokongan dari bilik berita, tetapi kerana sifat kerja mereka di lapangan,” kata Westcott. 

“Ini selalunya melibatkan penangkapan imej dan video pertempuran dan kesannya, yang bermaksud mendekati bahaya yang mungkin,” ujar beliau.

Tambahnya, siasatan CPJ telah mendedahkan bahawa ‘sesetengah wartawan ditembak dan dibunuh semasa melaporkan konflik perang di Palestin; manakala beberapa  yang lain  terbunuh dalam serangan udara, dalam beberapa kes, bersama keluarga mereka.

“CPJ sedang menunggu untuk melihat sama ada, atau bila, pencerobohan darat terancam Israel mungkin berlaku.

“Itu sudah tentu akan mengubah dinamik untuk keselamatan wartawan juga,” tegasnya.

Dua jurugambar media, Muhammad Al-Salhi (yang bertugas dengan Agensi Pihak Berkuasa Keempat) dan Ibrahim Muhammad Lafi (Agensi Media Ain) terkorban di pagar sempadan Timur Al-Bureij, GAza ketika membuat liputan serangan Palestin dan tindak balas Israel pada 7 Okt 2023.

Pada 11 Oktober lalu, Unit Pemantauan dan Susulan Pejabat Media Kerajaan di Gaza telah mendokumentasikan berpuluh-puluh serangan dan jenayah terhadap wartawan dan media; yang mana serangan Israel telah mengakibatkan kematian tujuh wartawan –  Ibrahim Lafi, Muhammad Jarghun, Muhammad Al-Salhi, Asaad Shamlikh, Saeed Al-Taweel, Muhammad Subh Abu Rizq dan Hisham Al-Nahadapa.

Di samping itu, lebih daripada sepuluh wartawan telah cedera dengan tahap keparahan yang berbeza-beza, dan mereka terputus hubungan dengan dua rakan sekerja, Nidal Al-Wahidi dan Haitham Abdul-Wahed.

Unit pemantau itu menambah bahawa rumah wartawan, Rami Al-Sharafi dan Basel Khair Al-Din telah menjadi sasaran dan dimusnahkan. Sebaliknya, rumah puluhan wartawan lain rosak sebahagiannya.

“Tambahan pula, berpuluh-puluh institusi media sama ada rosak sepenuhnya atau sebahagiannya oleh serangan Israel termasuk di Menara Palestin dan Menara Al-Watan, dengan lebih 40 ibu pejabat media terjejas,” lapor unit pemantaun tersebut pada ketika itu.

Wajah-wajah wartawan dan jurugambar yang terkorban ketika bertugas di medan perang konflik Hamas-Israel sejak 7 Okt 2023.

Kes Shireen Abu Akleh

Malah sebelum meletusnya perang baru-baru ini, kerajaan Israel telah dikritik oleh kumpulan pergerakan hak kemanusiaan kerana kematian wartawan. 

Tahun lalu, tentera Israel pada mulanya menafikan bahawa salah seorang askarnya menembak dan membunuh wartawan Palestin-Amerika, Shireen Abu Akleh dari Al Jazeera. Pada masa itu, mangsa  memakai topi keledar dan jaket yang berlabel ‘Press’ (media).

CPJ mengeluarkan laporan tahun ini yang menekankan bagaimana kes kematian wartawan bukan sekali sahaja, tetapi sebahagian daripada corak yang panjang dan dahsyat. 

Laporan pertubuhan itu mendapati bahawa sekurang-kurangnya 20 wartawan telah terbunuh oleh tembakan tentera Israel sejak 2001 yang mana ‘sehingga kini, tiada siapa atau pihak  yang bertanggungjawab’.

Pihak media Palestin sudah lama melaporkan mereka sering diganggu oleh pihak tentera Israel ketika menjalankan tugasan di lokasi.

Pegawai Israel dalam kenyataan ‘licik’nya mendakwa bahawa mereka tidak sengaja menyasarkan orang awam atau wartawan, dan mereka menghormati kebebasan akhbar. 

Dalam kes kematian Abu Akleh, pihak berkuasa Israel telah mengakui tembakan Israel mungkin membunuh wartawan itu, tetapi mereka menafikan askarnya sengaja menyasarkan mangsa.

Dalam pada itu, CPJ melaporkan  serangan siber, telah menambah risiko kepada wartawan. Di sebalik risiko sebenar tembakan dan serangan udara, Westcott berkata, konflik ini juga mendorong serangan ke atas wartawan di luar barisan hadapan.

Penyelidikan oleh CPJ mendapati terdapat lebih daripada 10 insiden penangkapan, ancaman, serangan siber dan penapisan yang menyasarkan wartawan ketika mereka menjalankan tugasan  mereka di Israel dan di wilayah Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

“Itu termasuk penahanan wartawan Palestin oleh Angkatan Pertahanan Israel (IDF),”kata Westcott.

Pihak polis Israel tidak ketinggalan bertindak kasar terhadap media yang bertugas seperti yang berlaku di tempat kejadian serangan merempuh kereta di kejiranan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur pada 16 Mei 2021.

Kes wartawan Israel Frey

Wartawan Israel, Israel Frey berkata: “Saya bersembunyi selepas beratus-ratus orang sayap kanan kerajaan Israel  menyerbu rumah saya  dan cuba mencederakan saya dan anak-anak saya,” katanya dalam video yang disiarkannya daripada tempat persembunyiannya.

Frey  juga telah tertakluk kepada bertubi-tubi mesej ugutan.

“Ya, saya takut, tetapi saya tidak akan putus asa,” luah Frey dalam video itu. “Mereka (Zionis) mengejar saya kerana saya bercakap tentang keperluan empati dan doa untuk kanak-kanak Gaza yang sedang dibunuh.”

CPJ dalam pada itu juga mengambil berat tentang peraturan baharu yang diluluskan di Israel yang membenarkan menteri komunikasi negara itu menutup saluran media asing semasa keadaan kecemasan, jika terdapat kepercayaan saluran itu merosakkan keselamatan negara.

The Times of Israel melaporkan bahawa peraturan itu telah diluluskan dengan matlamat untuk menutup Al Jazeera, yang didakwa oleh Menteri Komunikasi, Shlomo Karh sebagai ‘hasutan terhadap Israel’ – dakwaan yang telah dinafikan Al Jazeera.

“Wartawan sendiri adalah orang awam dalam konflik dan mereka memainkan peranan penting dalam memastikan kita semua dapat memahami apa yang sedang berlaku,” ujar Westcott. 

“Kami hanya menggesa agar semua kerajaan mengambil serius perkara itu dan melakukan yang terbaik untuk melindungi wartawan di mana mereka boleh. 

“Pihak berkuasa di semua pihak harus komited secara terbuka untuk mengiktiraf dan menghormati perkara itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/10/2023

- Advertisement -