Palestin: Kerajaan belum nyatakan tindakan lebih tegas

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan berhubung konflik di Palestin dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

- Advertisement -

Justeru, beliau meminta Menteri Luar Negeri menyatakan mengapa kerajaan masih belum menyatakan pendirian dan tindakan yang lebih tegas dalam isu konflik di Palestin seperti mendesak agar Benjamin Netanyahu dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat mengemukakan soalan itu pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri.

Sementara itu, soalan daripada ahli-ahli parlimen PERIKATAN NASIONAL yang disenaraikan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini sebagaimana di bawah.

Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor [Temerloh] minta Menteri Perladangan Dan Komoditi menyatakan:

(a) harga lantai getah pada masa kini; dan

 (b) mengapa Kerajaan masih mengekalkan import getah dari Thailand, Vietnam dan Afrika.

Datuk Muslimin bin Yahaya [Sungai Besar] minta Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi menyatakan keterlibatan serius koperasi-koperasi berkaitan dengan sektor agromakanan bagi membantu negara menghadapi krisis bekalan makanan pada masa sekarang dan akan datang.

Tuan Mohd Azizi bin Abu Naim [Gua Musang] minta Menteri Kewangan menyatakan mengapa syarikat individu Bumiputera yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berstatus pemilik tunggal tidak diberi status Taraf Bumiputera bagi pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Malaysia.

Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti Samsudin [Masjid Tanah] minta Menteri Kesihatan menyatakan sama ada khidmat jururawat tempatan buat masa ini mencukupi atau tidak dalam perkhidmatan kesihatan negara sama ada Kerajaan dan swasta.

Datuk Haji Ahmad Marzuk bin Shaary [Pengkalan Chepa] minta Menteri Pendidikan menyatakan:

(a) keseriusan Kerajaan melaksanakan dan memperluas program RMT; dan

(b) adakah Kementerian memantau kualiti makanan yang dijual oleh pengusaha kantin sekolah kerana terdapat pengusaha yang terpaksa mengurangkan kualiti makanan kesan kenaikan harga barang.

Tuan Shaharizukirnain bin Abd. Kadir [Setiu] minta Menteri Pengangkutan menyatakan sejauh mana kerjasama antara Kerajaan dengan semua pemegang taruh membabitkan pihak syarikat dan penghantar makanan (p-hailing) telah dijalankan bagi menyelesaikan isu keselamatan yang membelenggu golongan tersebut di mana hampir 70% “rider” menunggang secara berisiko terutama pada waktu puncak.

Dr. Hajah Halimah Ali [Kapar] minta Menteri Pendidikan menyatakan:

(a) berapakah jumlah pelajar yang tercicir sekolah peringkat menengah, jumlah pelajar yang didapati terlibat dalam penagihan dadah dan jumlah pelajar yang dijangkiti STD; dan

(b) trend pelajar yang terjebak dalam gejala sosial sejak 10 tahun kebelakangan ini dan perincikan jenis gejala.

Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee [Beluran] minta Menteri Kewangan menyatakan berapa jumlah penipuan permohonan pinjaman termasuk pinjaman perumahan, kenderaan, SME dan pinjaman peribadi yang dikesan di sepanjang tahun ini. Apa langkah pencegahan dan tindakan yang telah diambil terhadap permohonan-permohonan ini.

Tuan Roslan bin Hashim [Kulim Bandar Baharu] minta Menteri Pendidikan menyatakan adakah Kementerian Pendidikan bercadang menutup sekolah-sekolah yang mempunyai jumlah murid yang kurang daripada 30 orang murid.

Dato’ Sri Saifuddin Abdullah [Indera Mahkota] minta Menteri Pendidikan menyatakan dasar Pendidikan Digital dan kurikulum Pendidikan Digital serta adakah Kerajaan sudah memberikan latihan kepada para guru, menyediakan peralatan dan ekosistem yang bersesuaian bagi memastikan dasar ini dapat dilaksanakan dengan lancar, selesa dan berkesan.

Dr. Abd Ghani bin Ahmad [Jerlun] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan status terkini penangguhan pengeluaran kad pengenalan kanak-kanak (MyKid) bagi bayi baru lahir ekoran masalah bekalan mikrocip dan apakah inisiatif Kerajaan bagi memastikan masalah ini dapat diselesaikan dengan segera memandangkan penggunaan MyKid sangat diperlukan di jabatan-jabatan Kerajaan.

Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi [Tumpat] minta Menteri Kesihatan menyatakan adakah Kementerian bercadang untuk mewujudkan satu bank data vaksin bagi setiap profil rakyat di dalam aplikasi MySejahtera dengan pengguna seramai 38 juta rakyat Malaysia untuk meningkatkan pendidikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan [Kota Bharu] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah hasil siasatan terhadap kes kekecohan di KLIA yang melibatkan seorang Menteri pada Jun lepas dan apakah langkah penambahbaikan Prosedur Operasi Standard (SOP) susulan daripada insiden tersebut.

Dato’ Syed Abu Hussin bin Hafiz Syed Abdul Fasal [Bukit Gantang] minta Menteri Perpaduan Negara menyatakan kesan ekonomi daripada penganjuran Program Citra Nusa @ Muzium Matang yang berlangsung pada 8 – 10 September 2023 baru-baru ini. Adakah Ahli Parlimen Bukit Gantang sememangnya tidak layak sebagai tetamu jemputan.

Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi bin Haji Salleh [Pasir Puteh] minta Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi menyatakan tindakan pihak Kementerian dalam usaha memperbanyak inisiatif keusahawanan berasaskan inovasi produk dan teknologi baharu di kala Malaysia berada di tangga ke-130 daripada 137 buah negara yang tersenarai dalam Indeks Keusahawanan Global 2022.

Kapten Azahari bin Hasan [Padang Rengas] minta Menteri Perladangan Dan Komoditi menyatakan senarai bantuan khusus untuk pekebun kecil (penoreh getah) dan perancangan Kerajaan negeri untuk membantu golongan ini terutama ketika musim hujan dan kejatuhan harga getah.

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [Maran] minta Menteri Perladangan Dan Komoditi menyatakan bagaimanakah Kerajaan mengawal aktiviti mencampurkan minyak masak terpakai dengan minyak masak baru yang dipasarkan semula dan apakah tindakan undang-undang yang telah diambil.

Datuk Iskandar Dzulkarnain bin Abdul Khalid [Kuala Kangsar] minta Menteri Kesihatan menyatakan status terkini perkembangan cadangan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan yang berpotensi menjadi revolusi terhadap petugas kesihatan di Malaysia. – HARAKAHDAILY 26/10/2023

- Advertisement -