Lynas: Keputusan berdasarkan fakta saintifik

Datuk Ahmad Amzad Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu berani membuat keputusan berdasarkan fakta saintifik berkaitan isu Lynas, kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

- Advertisement -

Beliau menyatakan perkara itu sebagai mengulas kenyataan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kelmarin yang telah menetapkan syarat baharu iaitu Lynas hendaklah memastikan kandungan radioaktif dalam residu Water Leach Purification (WLP) di bawah satu Becquerel setiap gram.

Ini, menurut kenyataan itu, bagi membolehkan Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) terus mengimport dan memproses nadir bumi sehingga Mac 2026 sekaligus membenarkan aktiviti Cracking and Leaching (C&L) diteruskan.

“Pada 20 Oktober yang lalu, pihak Lynas Rare Earths Ltd (Lynas) Australia telah mengumumkan untuk menutup semua operasi di Malaysia kecuali kilang pemprosesan karbonat campuran nadir bumi pada suku Disember tahun ini susulan kejatuhan saham syarikat tersebut.

“Menurut kenyataan itu, penutupan ini juga susulan daripada keprihatinan dan kebimbangan kerajaan Malaysia berkenaan tahap sinaran radiasi,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook beliau, semalam.

Beliau yang juga mantan Timbalan Menteri MOSTI menambah, berdasarkan pelbagai jawapan yang telah diberikan oleh kerajaan berhubung persoalan tahap radiasi telah mengesahkan kadar radiasi adalah sangat rendah (very low level).

“Saya bersetuju dalam isu-isu sebegini, Kerajaan Malaysia perlu dilihat mampu membuat keputusan berasaskan pertimbangan fakta saintifik,” katanya.

Menurut Amzad, kajian terperinci yang dilakukan ke atas Water Leach Purification (WLP) mendapati bahawa ia adalah bahan radioaktif yang dikategorikan oleh Jabatan Tenaga Atom (JTA) dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) sebagai ‘radioaktif aras sangat rendah’.

Katanya, aras ini adalah satu tahap pada aras keradioaktifan yang tidak perlu dikawal dan secara relatif keradioaktifan WLP adalah setara dengan keradioaktifan yang terdapat pada sesetengah batu fosfat (rock phosphate) yang diimport Malaysia untuk membuat baja.

“Kerajaan seharusnya dilihat bersungguh untuk memanfaatkan sumber REE di dalam negara sebagai satu sumber baharu untuk pacu ekonomi negara.

“Industri nadir bumi merupakan industri yang amat kritikal dan strategik dalam pembangunan tenaga bersih, tenaga hijau, kenderaan elektrik, industri pemangkin, pertahanan, elektronik dan lain-lain.

“Potensi dan kebolehan yang ada pada Lynas akan dapat membantu negara untuk menarik pelaburan yang berpotensi tinggi bagi menyokong industri pembuatan bahan termaju berteknologi tinggi,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 26/10/2023

- Advertisement -