Perubahan iklim: Komitmen Malaysia ke sidang dunia

- Advertisement -

PERSIDANGAN Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa Bersatu kali ke-28 (COP 28), dijadual berlangsung pada hujung bulan hadapan, bermula 30 November hingga 12 Disember 2023. Dubai, secara rasmi dipilih sebagai tuan rumah bagi menjayakan persidangan kali ini. Objektif utamanya, sebagai medium dan platform kepada negara-negara ahli termasuk Malaysia untuk berbincang dan merunding langkah-langkah terbaik dalam menangani isu perubahan iklim yang sedang melanda dunia.

Sejak penganjuran kali pertama pada 1995 di Berlin, Jerman, persidangan ini telah memainkan peranan yang signifikan dalam menentukan serta membentuk pelbagai dasar berkaitan iklim di peringkat antarabangsa. Antara isu yang pernah diketengahkan seperti pengurangan emisi gas rumah kaca, penyesuaian terhadap impak perubahan iklim, pendanaan kepada negara-negara membangun dan kerjasama teknologi. Beberapa resolusi pernah dimeterai menerusi persidangan ini, iaitu Protokol Kyoto dan Perjanjian Paris 2015. 

Sementara itu, Presiden COP 28, Sultan Al Jaber, yang juga merupakan Menteri Industri dan Teknologi Maju UAE dalam ucapannya di Brussels, Belgium, menggariskan empat tonggak utama hala tuju persidangan tahun ini. iaitu mempercepat peralihan ke dunia rendah karbon CO², memperkukuh sumber kewangan, memberi fokus kepada manusia, kehidupan dan mata pencarian serta keterangkuman yang penuh. Cadangan ini telah disambut baik secara meluas oleh pakar-pakar dan masyarakat sivil antarabangsa. 

Menyedari hakikat dunia kini berada pada fasa yang sangat genting dalam menangani isu perubahan iklim, Al Jaber turut menzahirkan pelan tindakan beliau yang turut merangkumi strategi membawa negara-negara kepada fasa keluar (phase out) daripada pelepasan bahan api fosil. Tambah beliau, negara-negara pengeluar minyak perlu bertanggungjawab atas kesan penggunaan sumber yang tidak boleh diperbaharui itu kepada perubahan iklim dan pemanasan global. Justeru, langkah segera bagi mengurangkan penggunaannya perlu dibuat dengan lebih serius oleh ke semua negara ahli.   

Komitmen Malaysia 

Dalam pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR), kerajaan telah menggariskan enam pemacu utama peralihan tenaga antaranya melibatkan tenaga boleh baharu, hidrogen, mobiliti hijau serta pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS). Usaha ini antara lainnya untuk meningkat daya tahan negara terhadap impak perubahan iklim serta komitmen kerajaan terhadap resolusi COP di peringkat antarabangsa. 

Belanjawan 2024 juga memperuntukkan Dana Mudah Cara Peralihan Tenaga Negara dengan nilai keseluruhan berjumlah RM2 bilion oleh pihak kerajaan bagi menjayakan NETR. Manakala, institusi kewangan dalam negara juga bersedia menyediakan dana pembiayaan dengan nilai keseluruhan RM200 bilion untuk mendorong industri beralih ke arah ekonomi rendah karbon. 

Selain itu, kerajaan akan terus meningkatkan pembangunan industri kenderaan elektrik (EV) tempatan dan menggalakkan penerimaan rakyat terhadap penggunaan EV. Pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas perbelanjaan kemudahan pengecasan EV untuk tempoh 4 tahun dan potongan cukai bagi kos sewaan EV akan dilanjutkan untuk tempoh 2 tahun lagi. 

Di samping itu, usaha menggalakkan pemasangan panel solar turut akan dipertingkatkan dengan melanjutkan tempoh tawaran program Net Energy Metering (NEM) sehingga 31 Disember 2024 bagi menggalakkan lebih ramai memasang panel di premis kediaman. Kerajaan juga bersetuju untuk menjadikan Putrajaya sebagai model bandar rendah karbon Malaysia. Pentadbiran Persekutuan juga akan mula menggunakan kenderaan elektrik sebagai kenderaan rasmi bagi menyokong usaha ini. 

Sementera itu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, dalam satu kenyataan media berkata, Malaysia akan memberi fokus kepada aspek peralihan tenaga dan pengurangan pelepasan gas rumah hijau dalam persidangan COP 28 pada November depan. Selain itu, negara juga akan memberi tumpuan terhadap persiapan melaksanakan perkara berkaitan peralihan tenaga yang adil, pasaran karbon, pembiayaan iklim, biodiversiti dan penyesuaian iklim. 

Untuk peralihan tenaga yang adil, Nik Nazmi menyasarkan jumlah pelaburan sebanyak RM637 bilion menjelang 2050 dalam industri tenaga boleh baharu termasuk pelaburan dalam sumber penjanaan, mengukuhkan infrastruktur grid termasuk menambah baik talian penghantaran, penyepaduan sistem penyimpanan tenaga dan penambahan operasi rangkaian sistem grid. 

Usaha ini membolehkan Malaysia melaksanakan usaha nyah karbon, serta menggunakan kelebihan kompetitif negara untuk menghasilkan pelaburan yang bernilai tinggi dan mesra alam sekitar, mampan serta berpusat kepada tenaga. Ia juga merupakan komitmen negara terhadap resolusi COP yang lepas dan memastikan penyertaan Malaysia ke persidangan COP 28 akan memberi manfaat dan nilai tambah kepada negara dan antarabangsa. 

Harapan rakyat

Menelusuri perbincangan dan resolusi COP pada sidang tahun-tahun yang lalu, jelas terdapat banyak penyelesaian yang tepat diajukan oleh negara-negara maju, seperti pembebasan sifar bersih (net zero) untuk semua negara pada tahun 2050, dan mewujudkan mekanisme pasaran karbon serta pengimbangan balik (offset) karbon. Namun, apa yang mengecewakan apabila komitmen menyelesaikan isu ini kebanyakannya tertumpu dan dibebankan kepada negara-negara membangun. Masyarakat dunia sering kali melihat komitmen kuasa-kuasa besar ibarat acuh tidak acuh, malahan ada yang bersikap angkuh sehingga sanggup meninggalkan Perjanjian Paris. 

Justeru, besar harapan agar delegasi Malaysia ke COP 28 bersiap sedia untuk menangani segala tindak balas negara-negara maju berhubung resolusi penyelesaian yang akan diputuskan persidangan. Kefahaman yang betul mengenai asas-asas Perjanjian Paris dan pakatan bersama negara-negara membangun yang lain merupakan strategi penting dalam usaha mencegah lebih banyak peralihan tanggungjawab kepada negara-negara membangun, yang bertentangan dengan prinsip Perjanjian Paris.

Intihanya, pada persidangan COP 28 akan datang, kesungguhan dan komitmen negara-negara maju terutamanya Amerika Syarikat dan China perlu dituntut dengan lebih tegas bagi menjayakan resolusi sidang ini. Selain itu, para perwakilan juga perlu sebulat suara menuntut diberikan hak kesaksamaan dalam aspek pembangunan antara negara agar dapat mengurangkan jurang kekayaan antara negara kaya dan miskin.

MOHD HAFIZUDIN MOHD YAHAYA 
Yayasan Strategik Lestari – HARAKAHDAILY 26/10/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -