Sokong Gaza: Pelakon Maisa Abdel Hadi ditangkap

Maisa Abdel Hadi. (FOTO: The National)
- Advertisement -

NAZARETH: Di tengah-tengah tindakan keras terhadap individu yang menyokong Gaza, pihak berkuasa Israel telah menangkap pelakon berketurunan Arab-Israel, Maisa Abdel Hadi.

Maisa, 37, yang menetap di bandar Nazareth di utara Israel ditangkap pada Isnin (23 Okt) dan diletakkan dalam tahanan sehingga esok, Khamis (26 Okt), lapor Wion merujuk kepada kenyataan polis Israel.  

- Advertisement -

Penahanan pelakon yang pernah membintangi filem berjudul, Tel Aviv On Fire (2018)  menambahkan lagi jumlah warga Arab Israel yang ditahan kerana siaran media sosial membincangkan tentang perang Hamas-Israel.

Terdahulu, melalui catatan media sosialnya, Maisa didakwa telah menyiarkan gambar jentolak melanggar pagar di sempadan antara Semenanjung Gaza dan Israel ketika serangan 7 Oktober lalu oleh kumpulan pejuang Hamas dengan kapsyen “Mari pergi ala Berlin”, merujuk kepada kejatuhan Tembok Berlin yang membahagikan Jerman sehingga tahun 1989.

Menurut pejuang hak asasi dan polis Israel, sudah ramai penduduk minoriti Arab-Israel dan rakyat Palestin di Israel sama ada telah dipecat, dihalau dari kolej dan ditangkap kerana komen menyatakan solidariti masing-masing terhadap penduduk Gaza. – HARAKAHDAILY 25/10/2023

- Advertisement -