Penyelesaian pensijilan halal capai 80 peratus era PN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketika era kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN), proses untuk menyelesaikan permohonan sijil halal yang dikemukakan pemohon mencapai 80 peratus.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, ketika itu pada peringkat awal kerajaan menyasarkan menyelesaikan 75 peratus permohonan sijil halal.

- Advertisement -

“Kita tetapkan KPI untuk selesaikan 75 peratus permohonan sijil halal, namun berjaya selesaikan sehingga 80 peratus,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Serai berkata, proses mendapat sijil halal di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) berdasar prosedur operasi standard (SOP) selesai dalam tempoh 16 hari jika mengikut syarat ditetapkan audit halal.

Malah, katanya pembangunan industri halal di negara ini menjadi penyumbang utama di peringkat dunia.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, Malaysia menjadi rujukan banyak negara di dunia yang berminat menerokai pasaran global produk halal.

“Jangan pula hendak rosakkan industri yang dilaksanakan JAKIM dan JAIN. Jangan kerajaan serahkan kepada Halal Development Corporation Bhd (HDC).

“HDC ada masalah sebelum ini sehingga JAKIM terpaksa mengambil semula pengurusan halal pada 2009,” katanya.

Baru-baru ini, Pengerusi HDC, Khairul Azwan Harun mencadangkan kepada kerajaan supaya agensi itu turut diberi peranan pengeluaran pensijilan halal membabitkan produk eksport baharu.

Menurutnya, cadangan berkenaan bukan bermakna pihaknya mahu mengambil alih peranan Jakim selaku badan bertanggungjawab mengeluarkan pensijilan halal di negara ini.

HDC merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. – HARAKAHDAILY 25/10/2023

- Advertisement -