KUALA TERENGGANU: #Aid4Palestin 2.0 Terengganu menyasarkan kutipan minima sebanyak RM1 juta bagi membantu umat Islam di Palestin.
Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Hishamuddin Abdul Karim berkata, perancangan disusun untuk mendapatkan RM1 juta melalui agensi-agensi kerajaan negeri dan kutipan di masjid.
Menurutnya, kesedaran membela nasib umat Islam di Palestin digerak dengan berkongsi penderitaan bersama rakyat Terengganu di semua peringkat.
“Kita mengalu-alukan semua lapisan masyarakat terutamanya atas nama satu akidah dan agama. Bagi masyarakat bukan Islam dialu-alukan atas nama kemanusiaan.
“Orang bukan Islam pun kita mengalu-alukan untuk menyumbang, kita boleh salur terus kepada tabung tersebut,” katanya selepas Kuliah Dhuha dan Solidariti Aqsa bersama warga kerja Wisma Darul Iman di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Murabbi Sejuta Ummah, Ustaz Azhar Idrus’; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli: dan Adun Seberang Takir, Khazan Che Mat.
Hishamuddin juga berkata, sumbangan yang akan disalur ke Palestin berdasar keperluan mereka dari semasa ke semasa.
“Kita akan bincang dengan beberapa pihak yang akan terlibat dalam misi kemanusian tersebut. Sumbangan diterima akan diguna bagi membeli barangan berdasarkan keperluan semasa terutamanya makanan dan minuman,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut menyokong desakan terhadap Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk membawa suara rakyat ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menghentikan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.
“PBB dan Negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu bertindak segera. Suara-suara rakyat perlu diangkat di pentas antarabangsa secara lebih konsisten dan semua pemimpin negara perlu memainkan peranan,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/10/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!