Komitmen PN kukuhkan DUN: Azmin, Shafie temui Weng San

Pertemuan dua hala antara Azmin (tengah) dan Shafie (kanan) dengan Weng San di DUN Selangor pada hari ini, 23 Okt 2023.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertemuan dua hala antara Ketua Pembangkang PERIKATAN NASIONAL (PN) Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ramal,  Selangor, Shafie Ngah dengan Tuan Speaker Negeri Selangor, Lau Weng San telah dilaksanakan bertempat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada hari ini.

Shafie berkata, pertemuan itu adalah bertujuan untuk membangkitkan beberapa perkara penting yang akan dibahaskan sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan berlangsung pada awal November ini.  

- Advertisement -

Katanya lagi, PN Selangor turut membangkitkan keperluan terhadap ruang yang demokratik dalam perbahasan dan kawalan sidang secara profesional. 

PN Selangor juga akan memberikan komitmen untuk berbahas secara faktual dan matang dalam segala hal yang munasabah. 

“Ini berikutan ramai yang berasa jengkel dengan telatah dan sikap wakil rakyat ketika bercakap di dalam dewan, sehinggakan ada yang melabelkan dewan (DUN) sebagai sarkas.

Pertemuan Azmin dan Shafei dengan Weng San bermatlamat untuk mengukuhkan kemuliaan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Justeru, kami akan memberikan komitmen kepada Tuan Speaker, bahawa wakil rakyat PN komited untuk bersuara dengan matang, berfakta dan secara profesional iaitu sesuai dengan kedudukan dewan yang mulia,” katanya kepada HarakahDaily

Sehubungan itu, Shafie turut memberitahu bahawa beliau dan ahli-ahli jemaah yang lain akan menyokong dan menjadikan DUN sebagai tempat yang mulia dan rujukan kematangan, serta memainkan peranan semak dan imbang secara berkesan.

“Diharapkan semoga semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN diberikan kekuatan untuk mengukuhkan kemuliaan DUN,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/10/2023

- Advertisement -