Pemuda PAS mahu ramaikan pembabitan anak muda

Dalam politik negara dan perjuangan PAS

- Advertisement -

SHAH ALAM: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden menyifatkan anak muda dalam kalangan pempengaruh dan TikTokers telah membantu perjuangan PAS di medan tempur politik negara ini.

Hargainya, mereka telah berhujah dan membentangkan fakta dan data yang dibuat semua itu secara percuma sebaliknya dengan keikhlasan walaupun ada pimpinan lawan menuduh peranan dilakukan itu diberikan bayaran.

“Keikhlasan mereka itulah yang menentukan kemenangan kita pada hari ini dan kita berada di sini kita bagi amaran kepada mereka yang mempunyai tanggapan yang salah kepada PAS kepada para Pemuda serta TikTokers PAS. 

“Kami tidak pernah diajar berjuang meminta bayaran. Kami tidak pernah diajar berjuang meminta habuan dan balasan seperti kamu. Kalau kamu rasa kamu berjuang menggunakan duit itu hal kamu. Itu bukan hal kita. 

“Kita berjuang atas keikhlasan. PAS sama sekali tidak pernah berniat untuk kebendaan seperti kamu. Perjuangan kita ikhlas untuk menegakkan kalimah Allah,” ujarnya pada ucapan penggulungan Muktamar Tahunan PAS kali Ke-69, di IDCC, di sini.

Maklum beliau, Pemuda PAS dalam menangani, menguruskan dan terus memimpin para pengundi muda, bersetuju untuk mewujudkan Sektor Latihan dan Pendidikan Politik Anak Muda.

Menurut Ahli Parlimen Alor Setar itu, sektor ini akan membuka ruang kepada para anak muda yang tidak terlibat dengan politik kepartian PAS untuk didedahkan kepada program berbentuk perantisan bersama ADUN atau Ahli Parlimen PAS.

Beliau turut memberitahu mengenai kesediaan Pemuda PAS melantik sebilangan Ahli Jawatankuasa dalam kalangan wanita muda, selain terus mendedahkan anak muda dalam pembuatan dasar dan polisi.

“Pemuda menyeru supaya semua ahli pimpinan di semua peringkat untuk mendorong anak masing-masing terutama di bangku sekolah, di universiti untuk terlibat dan mengenali perjuangan. 

“Tidak ada guna dan tidak ada ertinya kalau hanya kita sahaja berpencak (di medan perjuangan), tapi mereka di rumah tidak tahu apa perjuangan kita. Insya-Allah Pemuda bersedia memikul tugasan amanah itu untuk terus memimpin dan membimbing mereka,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/10/2023

- Advertisement -
- Advertisement -