‘Moving foward’ koordinasi komunikasi jentera penerangan

Perluaskan penyampaian maklumat kepada bukan-Melayu

- Advertisement -

SHAH ALAM: Koordinasi komunikasi yang berkesan secara berkumpulan menurut skrip telah ditetapkan parti telah menghasilkan keputusan sebagaimana diperolehi pada PRU15 dan PRN baru-baru ini.

Ketua Penerangan PAS, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, gerak kerja itu bukan sahaja dapat mempertahankan negeri-negeri sedia ada, tapi menambah koleksi kerusi Parlimen untuk Perikatan Nasional (PN).

“Kalau kita lihat koordinasi yang kita lakukan di semua peringkat ini, semuanya kita buat untuk mempertahankan dasar, polisi dan kepimpinan parti. Jadi, rangka informasi yang ada pada parti khususnya jentera penerangan mesti ‘moving forward’.

“Koordinasi ini perlu diteruskan oleh semua pemegang taruh yang terbabit dan kita perlu efektifkan lagi sistem komunikasi yang lebih berkesan. Paling penting para kita nak panjangkan pendapat, pandangan, saranan, polisi, dasar kita.

“Yang kita akan buat khususnya kepada rakan-rakan bukan-Bumiputera. Kerana sekiranya kita ingin memimpin negara ini kita tidak boleh meninggalkan kawan-kawan daripada golongan bukan-Bumiputera. 

“Kita akan memperkasakan sokongan Bumiputera dan alhamdulillah sokongan kepada Umno yang sebelum ini diberikan oleh orang Melayu telah berpindah kepada PAS. PAS telah menjadi parti arus perdana.

“Tetapi persoalannya kalau kita ingin memimpin dengan bergaya dan efektif, kita juga perlu mendapat sokongan daripada golongan bukan-Melayu dan inilah yang ditekankan oleh ayahanda Tan Sri Presiden,” ujarnya pada ucapan penggulungan di Muktamar Tahunan PAS kali Ke-69 di IDCC, di sini.

Jentera penerangan serunya, perlu lebih efektif, kreatif dan inovatif untuk menyampaikan maklumat kepada rakan-rakan bukan-Melayu, dengan kerjasama daripada Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP).

Menurutnya, sokongan terhadap instrumen penerangan parti perlu sebagaimana perubahan dibuat kepada cetakan akhbar Harakah dan berinovasi kepada HarakahDaily Premium. – HARAKAHDAILY 22/10/2023

- Advertisement -
- Advertisement -