‘Mereka sebenarnya kerajaan gagal’ – Takiyuddin

- Advertisement -

SHAH ALAM: PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) perlu bekerja dengan lebih kuat dan sentiasa bersedia untuk mengambil alih Kerajaan Pusat dengan dasar, hala tuju dan kepimpinan lebih jelas, kukuh, kompeten dan berwibawa.

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, kepimpinan kerajaan gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) gagal menangani isu-isu yang membelenggu masyarakat dan negara.

- Advertisement -

“Mereka sebenarnya kerajaan gagal – they won’t walk the talk (cakap tak serupa bikin).

“Tidak ada pilihan lain sebaliknya menjadi tanggungjawab besar yang perlu dilunaskan sebaik-baiknya oleh PN, sebagai kerajaan mahu pun pembangkang susulan kepercayaan dan harapan tinggi diberi pengundi dan rakyat kepada kita,” katanya pada ucapan alu-aluan Muktamar PAS kali ke-69 di IDCC, di sini, hari ini.

Menurutnya, rakyat berhak menikmati hidup bermaruah yang merupakan hak insani mereka dan bukannya ‘keistimewaan’ yang diagih mengikut selera dan kemahuan pemimpin seperti diamalkan kerajaan PH-BN.

Beliau juga berkata, di atas kejayaan PN turut dirakam ucapan tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta kepimpinan PN. 

“Secara khususnya saya kira pencapaian sebagai hadiah yang paling bermakna kepada Presiden PAS sempena genap usianya 76 hari ini,” ujarnya.

Takiyuddin juga berkata, ketika saat PAS bermuktamar, rakyat di Palestin berdepan dengan konflik kemanusiaan yang berterusan dan paling zalim di abad ini.

Kata beliau, di bumi di Palestin, kezaliman, pembunuhan dan penjajahan, semuanya manifestasi daripada warisan buruk era kolonialisme Barat di negara-negara yang pernah dijajahnya suatu ketika dahulu.

Justeru, beliau menegaskan bahawa muktamar kali ini dengan penuh keinsafan dan kesedaran bersolidariti bersama rakyat Palestin mengutuk keras perbuatan dan tindakan jenayah zalim rejim Zionis Israel.

“Lebih mendukacitakan juga dasar dan tindakan kuasa-kuasa Barat yang turut sama mempertahankan dan menyokong rejim berkenaan,” hujahnya.

Beliau juga berkata, muktamar pertama PASCA pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang melibatkan kawasan Parlimen dan negeri pada November 2022, ikuti dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 di enam Dewan Undangan Negeri (Ogos 2023), di samping beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Alhamdulillah sebagaimana kita semua maklum di peringkat Parlimen, PAS bersama rakan taawun iaitu Bersatu dan PN memenangi sebanyak 74 kerusi parlimen,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/10/2023

- Advertisement -