SHAH ALAM: PAS yang membawa risalah Islam sejagat, tidak berpisah daripada semua isu dalam dunia kini, sama ada di peringkat nasional atau dunia antarabangsa, melibatkan aspek ekonomi, pendidikan, sehinggalah alam sekitar yang mengancam kehidupan manusia kerana meninggalkan Islam yang sempurna.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, peranan Islam menjadi penyelamat perlu dikembalikan bagi menghadapi kegagalan agama, ideologi politik, teori ekonomi, pendidikan dan sosial.
“Walaupun umat Islam difitnah dengan Islamofobia, namun ternyata kekebalan ajarannya tidak boleh dipadamkan. Maka, tegakkanlah Islam di mana bumi tempat kita berpijak,” ujarnya semasa menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-69 di IDCC di sini, hari ini.
Beliau juga menegaskan, PAS ialah satu jasad dengan perjuangan Islam di seluruh pelosok dunia.
Maka, katanya PAS hendaklah terus memberi perhatian terhadap masalah Palestin yang belum bebas.
Terkini, jelasnya Harakah al-Muqawamah al-Islamiyyah (Hamas) telah melancarkan operasi Taufan al-Aqsa, ia merupakan salah satu daripada hari-hari Allah yang membuktikan kebenaran firman-Nya apabila benteng pertahanan negara haram Israel berjaya ditembusi.
Kejadian itu berlaku walaupun rejim Zionis Israel merasa angkuh dengan slogan ‘tenteranya tidak mungkin dikalahkan’ disebabkan bantuan negara kuasa besar yang bertali arus tanpa menghiraukan undang-undang perang antarabangsa.
“Mereka lupa bahawa di sana, ada janji Allah yang benar,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, operasi Taufan al-Aqsa memberikan peringatan kepada pemimpin negara Arab dan Islam yang bersikap menyerah kalah dengan menerima cadangan normalisasi dan penyelesaian dua negara (two-state solution) yang menjadi permainan zionis dan sekutunya.
Maka, kata beliau umat Islam wajib bersatu bersama Palestin bagi menghadapi kaum Yahudi yang sebenarnya pengecut.
Tambahnya, PAS akan terus memberikan perhatian terhadap masalah umat Islam yang ditindas di seluruh penjuru dunia dan campur tangan asing di banyak negara umat Islam di Afrika dan Asia.
PAS, kata beliau akan meletakkan keutamaan untuk menjadi penggerak bagi mengangkat agenda penyatuan ummah di Rantau Asia Tenggara dan dunia Islam.
Dalam urusan dasar luar negara, katanya Malaysia disarankan terus mengambil sikap tegas dan berani, serta tidak memihak kepada kuasa besar, terus menjuarai isu-isu negara umat Islam supaya Malaysia disegani oleh rakan di mata dunia.
“Letakkan keutamaan kerjasama serantau daripada kalangan negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), kerjasama negara-negara Islam (OIC) dan negara-negara berkecuali (NAM) terlebih dahulu,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.
Namun, kata beliau hubungan dengan semua negara tidak diputuskan, mengikut kebijaksanaan agar tidak terikat dan sangat bergantung dengan kuasa besar dunia. – HARAKAHDAILY 20/10/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!