Taufan Al-Aqsa: Hari pertolongan Allah

- Advertisement -

FIRMAN Allah SWT:

- Advertisement -

﴿إِن يَنصُرۡكُمُ ٱللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمۡۖ وَإِن يَخۡذُلۡكُمۡ فَمَن ذَا ٱلَّذِي يَنصُرُكُم مِّنۢ بَعۡدِهِۦۗ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلۡيَتَوَكَّلِ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ١٦٠﴾

“Jika Allah menolong kamu, maka tiadalah orang yang dapat mengalahkan kamu. Jika Allah membiarkan kamu (tidak memberikan pertolongan), maka siapakah gerangan yang dapat menolong kamu (selain) daripada Allah sesudah itu? Oleh kerana itu, hendaklah kepada Allah sahaja orang-orang Mukmin bertawakal.” [Surah Ali ‘Imran: 160]

Pada hari Harakah al-Muqawamah al-Islamiyyah (Hamas) melancarkan operasi Taufan al-Aqsa, ia merupakan salah satu daripada hari-hari Allah (أيام الله) yang membuktikan kebenaran firman-Nya apabila benteng pertahanan negara haram Israel berjaya ditembusi. Kejadian itu berlaku walaupun mereka merasa angkuh dengan slogan “tenteranya tidak mungkin dikalahkan” disebabkan bantuan negara kuasa besar yang bertali arus tanpa sekatan sempadan antarabangsa.

Mereka lupa bahawa di sana, ada janji Allah yang benar. Apabila mereka yang beriman membuat persediaan sekadar kemampuan mereka sahaja dengan ikhlas dan bertaqwa, maka datanglah pertolongan Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Perkasa; tiada sesiapa yang dapat mengalahkannya. Firman Allah SWT:

﴿وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٖ وَمِن رِّبَاطِ ٱلۡخَيۡلِ تُرۡهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمۡ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمۡ لَا تَعۡلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعۡلَمُهُمۡۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيۡءٖ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيۡكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تُظۡلَمُونَ٦٠﴾

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa-apa sahaja yang kamu mampu dan daripada kuda-kuda yang ditambat untuk berperang, (dengan persiapan itu) kamu menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa-apa sahaja yang kamu nafkahkan di jalan Allah, nescaya akan dibalas dengan cukup kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).” [Surah al-Anfal: 60]

Persediaan yang dilakukan dengan mengikut keadaan semasa; bermula dari aspek tenaga manusia, peralatan, mahupun infaq (perbelanjaan) sekadar kemampuan daripada golongan kaya dan miskin. Walaupun persediaan yang dibuat tidak sama dengan jumlah anggota musuh dari sudut kelengkapan dan kekayaan mereka yang berlipat kali ganda dan melimpah-ruah. Hal ini demikian kerana, selebihnya pasti Allah menjanjikan pertolongan-Nya.

Rakyat Palestin yang terkepung di Gaza, terpaksa berada dalam keadaan berdagang di dalam tanah air sendiri dan di luar negara, malah dihimpit oleh permainan masyarakat dan pertubuhan antarabangsa yang dipengaruhi oleh Zionis yang paling zalim dan kejam itu.

Perkara ini berlaku setelah tanah air rakyat Palestin dirompak, harta mereka dirampas, bahkan mereka dihalau keluar bagi menubuhkan negara haram bernama Israel, atas nama agama Yahudi yang disesatkan dengan sokongan negara-negara kuasa besar dunia. Sebenarnya, Yahudi tidak layak mewarisi Palestin bumi para anbiya’ kerana mereka telah ditimpa hukum Allah. Firman Allah SWT:

﴿… وَضُرِبَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلذِّلَّةُ وَٱلۡمَسۡكَنَةُ وَبَآءُو بِغَضَبٖ مِّنَ ٱللَّهِۗ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ كَانُواْ يَكۡفُرُونَ بِـَٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ بِغَيۡرِ ٱلۡحَقِّۗ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّكَانُواْ يَعۡتَدُونَ٦١﴾

“…Lalu ditimpakanlah kepada mereka kenistaan dan kehinaan, serta mereka mendapat kemurkaan daripada Allah. Hal itu (terjadi) kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan membunuh para Nabi yang memang tidak dibenarkan. Demikian itu (terjadi) kerana mereka selalu berbuat derhaka dan melampaui batas.” [Surah al-Baqarah: 61]

Operasi Taufan al-Aqsa memberikan peringatan kepada pemimpin negara Arab dan Islam yang lemah imannya. Mereka bersikap menyerah kalah dengan menerima cadangan normalisasi dan penyelesaian dua negara (two-state solution) yang menjadi permainan negara Zionis dan sekutunya terhadap negara Arab dan Islam yang dicucuk hidung oleh negara kuasa besar yang menjadi khadam Zionis.

Perkara sedemikian berlaku dalam keadaan negara Zionis Israel tidak menerima semua cadangan masyarakat antarabangsa kerana melambatkan pencapaian cita-cita mereka bagi menubuhkan negara agung Zionis (The Greater Israel) yang berpusat di Bait al-Maqdis, dengan merobohkan Masjid al-Aqsa dan diganti dengan Haikal Sulaiman (kuil Yahudi) yang telah diisytiharkan menjadi ibu negaranya.

Mereka menerima kedatangan pendatang Yahudi dari seluruh pelosok dunia bagi menduduki rumah-rumah kediaman, kedai-kedai perniagaan, dan kebun-kebun yang dirampas daripada rakyat Palestin yang dihalau tanpa perikemanusiaan dan rasa malu. Hal ini demikian kerana, tiada maruah dalam diri mereka yang dilaknat Allah.

Rakyat Palestin diletakkan di dalam penjara terbesar dunia. Semuanya menjadi banduan; daripada orang tua, pesakit, wanita, mahupun kanak-kanak, mereka dilayan dengan zalim tanpa perikemanusiaan dan sifat kemanusiaan sejagat yang tidak menjadi anutan kumpulan Zionis yang fanatik kebangsaan Yahudi mereka. Sehinggakan, mereka menganggap kaum bukan Yahudi ialah bukan asal manusia sebenar.

Maka, di mana letaknya wajah negara Arab dan Islam yang sangat lemah serta tidak bermaruah agama dan kemanusiaan? Mereka mahu mengiktiraf negara haram itu serta melakukan normalisasi dan bersahabat kerana mahu akan keuntungan ekonomi, padahal mereka kerugian maruah dan politik. Di sini, diletakkan amaran Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمۡ أَوۡلِيَآءَ تُلۡقُونَ إِلَيۡهِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَقَدۡ كَفَرُواْ بِمَا جَآءَكُم مِّنَ ٱلۡحَقِّ يُخۡرِجُونَ ٱلرَّسُولَ وَإِيَّاكُمۡ أَن تُؤۡمِنُواْ بِٱللَّهِ رَبِّكُمۡ إِن كُنتُمۡ خَرَجۡتُمۡ جِهَٰدٗا فِي سَبِيلِي وَٱبۡتِغَآءَ مَرۡضَاتِيۚ تُسِرُّونَ إِلَيۡهِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَأَنَا۠ أَعۡلَمُ بِمَآ أَخۡفَيۡتُمۡ وَمَآ أَعۡلَنتُمۡۚ وَمَن يَفۡعَلۡهُ مِنكُمۡ فَقَدۡ ضَلَّ سَوَآءَ ٱلسَّبِيلِ١﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuh kamu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita Muhammad) kerana rasa kasih sayang! Padahal sesungguhnya, mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepada kamu, mereka mengusir Rasul dan (mengusir) kamu kerana kamu beriman kepada Allah, Tuhan kamu. Jika kamu benar-benar keluar untuk berjihad di jalan-Ku dan mencari keredaan-Ku (janganlah kamu berbuat demikian). Kamu memberitahu secara rahsia (berita-berita Muhammad) kepada mereka kerana rasa kasih sayang. Aku lebih mengetahui apa-apa yang kamu sembunyikan dan apa-apa yang kamu nyatakan. Dan sesiapa antara kamu yang melakukannya, maka sesungguhnya, dia telah tersesat dari jalan yang lurus.” [Surah al-Mumtahanah: 1]

Kumpulan Zionis itu lebih kejam daripada kaum Quraisy yang disebutkan dalam ayat tersebut.

Maka, wajib bagi rakyat Palestin secara khusus untuk berjihad sehingga berperang dengan musuh yang sebegitu rupa. Kini, mereka berjaya menunaikan kewajipan yang besar bagi pihak seluruh umat Islam, dengan mereka berada dalam saf yang pertama dalam barisan umat Islam di seluruh pelosok dunia.

Adapun umat Islam yang beristiqamah, wajib bersama Palestin dengan harta dan jiwa mereka atas nama Islam dan persaudaraan. Umat Islam wajib menghadapi negara kuasa besar yang menipu dengan slogan hak asasi manusia dan kebebasan demokrasi yang palsu serta menggoda umat Islam yang dibohongi sepanjang masa.

Sehinggakan, umat Islam tidak boleh membezakan antara yang zalim dengan yang menjadi mangsa kezaliman sejak zaman penjajah sehingga zaman kemerdekaan. Kita berada dalam keadaan masih dibelenggu dengan khadam-khadam yang dilantik daripada bangsa kita dan berpakaian seperti kita, tetapi menjadi gunting dalam lipatan umat Islam yang memotong urat-urat mereka bagi melemahkannya.

Sabda Rasulullah SAW:

نَعَمْ، ‌دُعَاةٌ ‌عَلَى ‌أَبْوَابِ ‌جَهَنَّمَ، مَنْ أَجَابَهُمْ إِلَيْهَا قَذَفُوهُ فِيهَا.

“Ya, adanya penyeru-penyeru ke arah neraka Jahanam. Sesiapa yang menyahut seruan mereka, nescaya dicampakkan ke dalam neraka bersama mereka.”

Apabila Huzaifah bertanya bagaimana ciri-ciri mereka, Rasulullah SAW menjawab:

هُمْ مِنْ جِلْدَتِنَا، وَيَتَكَلَّمُونَ بِأَلْسِنَتِنَا.

“Mereka daripada kalangan bangsa yang mempunyai kulit sama dengan kita dan bercakap dengan bahasa kita.” [Muttafaq ‘Alayh: Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Fitan, No. 7084, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, No. 1847, daripada Huzaifah bin al-Yamani]

Allah yang Maha Besar (الله أكبر) yang diucapkan dalam setiap azan dan solat masih menjadi amalan umat Islam yang menghadap ke arah Kaabah Rumah Allah yang menyatukan, bukan mereka yang menghadap ke arah Rumah Putih (White House) yang sedang retak. Hal ini menjadikan umat ini masih teguh di medan bersama saudara-saudara di Palestin dengan kekuatan iman yang akan mencipta kemenangan sebagaimana janji Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱصۡبِرُواْ وَصَابِرُواْ وَرَابِطُواْ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ٢٠٠﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu, kuatkanlah kesabaranmu, tetaplah bersiap siaga (di mana-mana sahaja kamu ditempatkan), dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu mendapat kemenangan!” [Surah Ali ‘Imran: 200]

Umat Islam wajib bersatu bersama Palestin bagi menghadapi kaum Yahudi yang sebenarnya pengecut. Hal mereka itu disifatkan oleh firman Allah SWT:

﴿لَأَنتُمۡ أَشَدُّ رَهۡبَةٗ فِي صُدُورِهِم مِّنَ ٱللَّهِۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَوۡمٞ لَّا يَفۡقَهُونَ١٣ لَا يُقَٰتِلُونَكُمۡ جَمِيعًا إِلَّا فِي قُرٗى مُّحَصَّنَةٍ أَوۡ مِن وَرَآءِ جُدُرِۢۚ بَأۡسُهُم بَيۡنَهُمۡ شَدِيدٞۚ تَحۡسَبُهُمۡ جَمِيعٗا وَقُلُوبُهُمۡ شَتَّىٰۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَوۡمٞ لَّا يَعۡقِلُونَ١٤﴾

“Sesungguhnya, kamu dalam hati mereka lebih ditakuti daripada Allah. Yang demikian itu kerana mereka ialah kaum yang tidak mengerti. (13) Mereka tidak akan memerangi kamu dalam keadaan bersatu padu, kecuali di dalam kampung-kampung yang berbenteng atau di sebalik tembok. Permusuhan antara sesama mereka adalah sangat hebat. Kamu kira mereka itu bersatu, sedang hati mereka berpecah belah. Yang demikian itu kerana sesungguhnya, mereka ialah kaum yang tidak mengerti. (14)” [Surah al-Hashr: 13–14]

Kejayaan Taufan al-Aqsa yang berjaya dicapai oleh Hamas namun tidak mampu dicapai oleh seluruh tentera Arab yang kaya-raya harta mereka tetapi lemah iman dan maruah mereka, menandakan benarnya firman Allah dalam Kitab-Nya.

Taufan al-Aqsa juga mendedahkan topeng yang melindungi pandangan serong negara Barat yang bermusuh dengan Islam dan sedang mengajak seruan perdamaian, di samping menjadi penolong yang setia kepada nagara haram Zionis yang paling zalim itu. Firman Allah SWT:

﴿وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٍۚ…٧٣﴾

“Adapun orang-orang yang kafir, sebahagian mereka menjadi pelindung bagi sebahagian yang lain…” [Surah al-Anfal: 73]

Kita sedang menghadapi kaum yang dilaknat Allah bersama penolong mereka. Firman Allah SWT:

﴿إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡفُرُونَ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ وَيَقْتُلُونَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ بِغَيۡرِ حَقّٖ وَيَقۡتُلُونَ ٱلَّذِينَ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡقِسۡطِ مِنَ ٱلنَّاسِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ٢١ أُوْلَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ حَبِطَتۡ أَعۡمَٰلُهُمۡ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِ وَمَا لَهُم مِّن نَّـٰصِرِينَ٢٢﴾

“Sesungguhnya, orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi yang memang tidak dibenarkan dan membunuh orang-orang yang menyuruh manusia berbuat adil, maka gembirakanlah mereka bahawa mereka akan menerima seksa yang pedih. (21) Mereka itu ialah orang-orang yang lenyap (pahala) amal-amal mereka di dunia dan akhirat, dan mereka sekali-kali tidak memperoleh penolong. (22)” [Surah Ali ‘Imran: 21–22]

Taufan al-Aqsa ialah ujian kepada umat Islam dari segi keimanan mereka yang dijanjikan oleh firman Allah SWT:

﴿الٓمٓ١ أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ٢ وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡۖ فَلَيَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَٰذِبِينَ٣ أَمۡ حَسِبَ ٱلَّذِينَ يَعۡمَلُونَ ٱلسَّيِّـَٔاتِ أَن يَسۡبِقُونَاۚ سَآءَ مَا يَحۡكُمُونَ٤﴾

“Alif lam mim. (1) Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan, ‘Kami telah beriman,’ sedang mereka tidak diuji lagi? (2) Dan sesungguhnya, kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka. Maka, sesungguhnya, Allah mengetahui orang-orang yang benar, dan sesungguhnya, Dia mengetahui orang-orang yang dusta. (3) Adakah orang-orang yang mengerjakan kejahatan itu mengira bahawa mereka akan luput (daripada azab) Kami? Amatlah buruk apa-apa yang mereka tetapkan itu. (4)” [Surah al-‘Ankabut: 1–4]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 29 Rabiʿ al-Awwal 1445 / 15 Oktober 2023 – HARAKAHDAILY 15/10/2023

- Advertisement -