Isu tanah di Byram: Semua pihak perlu disiasat

- Advertisement -

KETUA Menteri, Chow Kon Yeow tidak boleh menganggap keraguan berkaitan tanah Taman Perindustrian Byram telah selesai hanya dengan penjelasan dan penafian umum yang telah dibuatnya. Dakwaan dibuat oleh bekas Timbalan Ketua Menteri, Dr Ramasamy Palanisamy dan Presiden Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC), Datuk Seri Hong Yeam Wah memerlukan satu tindakan undang-undang dilakukan.

Kerana ia melibatkan perkara berkaitan kepentingan awam di mana kontroversi mengenai mengenai isu tersebut digambarkan dengan kecurigaan berlakunya unsur penyelewengan dan salah guna kuasa. Oleh itu, bagi mengelak sebarang elemen tuduhan, ketiga-tiga individu itu perlu tampil membuat aduan rasmi kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ianya juga bagi mengelak persepsi politik ke atas pihak Chow yang mungkin dianggap telah melakukan menyingkiran kepada Ramasamy untuk bertanding pada PRN baru-baru ini. Begitu juga sama di pihak Ramasamy agar tidak dianggap sebagai balas dendam kerana tidak terpilih sebagai calon. Ketelusan dan integriti dalam isu ini penting memandangkan ia melibatkan kepentingan awam yang mungkin diberikan secara salah kepada pihak lain.

Selaku pihak berkuasa berkaitan, SPRM pula sepatutnya lebih proaktif mengambil tindakan terhadap isu ini yang memuncak pertikaiannya di media sepertimana SPRM dilihat dalam tuduhan ke atas pihak pembangkang. Jangan berdiam diri sehingga dilihat melakukan tindakan atau pendakwaan terpilih kerana tentunya menghilangkan kredibiliti dan kepercayaan awam disebabkan persepsi yang menyelubungi.

Apapun, terbongkar kerana didedahkan isu ini telah memberi petunjuk betapa tadbir urus Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP sering diselubungi korupsi dan nepotisme. Ia menjelaskan betapa kedudukan atau jawatan pentadbiran telah dijadikan kesempatan meraih kepentingan individu dan politik. Apabila tembolok masing-masing gagal dipenuhi, maka persengketaan menyebabkan bangkai gajah tidak dapat ditutup.

Jualan tanah di bawah nilai mentah pasaran dan dilakukan secara rundingan terus itu sememangnya penuh dengan kecurigaan yang munasabah untuk siasatan ke atasnya dilakukan. Lebih memalukan, ia berbangkit hasil pembongkaran dari pendedahan yang dilihat berbaur politik. Lebih malang dan hipokrit, ia dilakukan oleh teraju parti yang menguar-uarkan ketelusan integriti amalan tender terbuka selama ini.

“Malaysia Sejahtera”

ISZUREE IBRAHIM
Timbalan Pengerusi
Lajnah Tanah, Perumahan dan Orang Asal PAS Pusat
Setiausaha
PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 14/10/2023

- Advertisement -
- Advertisement -