Taufan Al-Aqsa: Kebangkitan yang dijanjikan Allah

- Advertisement -

MARANG: Operasi Taufan Al-Aqsa yang digerakkan HAMAS dalam membebaskan Palestin dari kezaliman rejim Zionis Israel adalah kebangkitan Islam sebagaimana dijanjikan oleh Allah SWT.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Allah Taala berjanji memelihara cahaya agama-Nya walaupun kebangkitan dilakukan oleh kumpulan-kumpulan Islam yang kecil sekalipun.

Tegasnya, Islam tidak dapat dihapuskan dan cahaya-Nya tidak dapat dipadamkan sungguhpun negara-negara dan umat Islam ditakluk, dipecah, dijajah, ditangkap, diperhambakan serta dibuang negeri.

Menurut beliau, kini genap 100 tahun musuh memecahkan negeri dan orang Islam dijatuhkan apabila negeri-negeri Islam dibahagikan setelah dilemahkan dan ditakluk sejak kejatuhan Kerajaan Uthmaniyah tahun 1924.

Jelasnya, menerusi peranan Yahudi, umat Islam telah dilemahkan dengan mereka meninggalkan ajaran agama dan dipecahkan menerusi semangat nasionalisme hingga berlaku perpecahan mazhab dan berkelahi sesama sendiri.

Sedangkan Yahudi ujarnya, adalah adalah bangsa yang dilaknat oleh Allah kerana derhaka dan melawan serta membunuh para Nabi, selain telah terusir dari tanah pernah didiami oleh kaum itu.

“Kebangkitan atas nama Islam ini menakutkan Yahudi. Cahaya walaupun sikit, Allah Taala sebut dan bersedialah kamu sekadar kemampuan kamu dengan kekuatan. Suruh orang Islam bersedia dengan kekuatan sekadar kemampuan kamu. 

“Walaupun persediaan itu tidak sama dengan musuh. Musuh lebih kaya, lebih banyak harta, lebih ramai jumlahnya, lebih banyak senjatanya, kalau kamu bersedia mengikut kemampuan kamu dengan ikhlas. 

“Allah Taala berjanji menolong orang yang berjuang untuk menegakkan agamanya, Allah Taala Maha Kuat lagi Maha Perkasa. Ini berlaku,” ujarnya pada Kuliah Dhuha Khas di Masjid Rusila, di sini pagi tadi.

Terang beliau, persediaan kemampuan tersebut adalah ujian keimanan iaitu sama ada seseorang itu benar-benar beriman atau tidak dalam perjuangan menegakkan agama Allah SWT dan mengimani janji-Nya.

Kerana katanya, di sebalik perjuangan dan kebangkitan itu ada juga orang Islam yang merasa kecil dan musuh dianggap lebih besar hingga mereka lebih awal menyerah kalah dan melakukan normalisasi.

Hakikatnya menurut beliau sebagaimana didedahkan al-Quran, mereka itu sayangkan diri sendiri, harta benda dan bakhil sedangkan dikurniakan kekayaan melimpah-ruah antaranya hasil petroleum.

Malangnya kata Ahli Parlimen Marang itu, kekayaan tidak digunakan untuk membantu perjuangan Islam sebaliknya wang yang banyak boleh digunakan pula untuk membeli pemain dan kelab bola sepak.

Bidas beliau, ketidaksanggupan menyumbang kepada perjuangan Islam tersebut adalah satu kerugian kerana Allah SWT menjanjikan pemberian berlipat kali ganda kepada mereka yang menginfakkan kepada perjuangan.

Apatah lagi menurut beliau, umat Islam pada hari ini turut berdepan kuasa-kuasa besar yang kaya di dalam dunia di mana mereka turut mempunyai Bank Dunia dan tabung kewangan antarabangsa.

Di mana katanya, sebahagian kekayaan tersebut sebenarnya adalah daripada negeri Islam, namun digunakan wang tersebut kemudiannya untuk membunuh orang Islam dan menyekat perjuangan umat Islam.

Tuan Guru menyifatkan beberapa negara umat Islam yang menyatakan sokong terbuka kepada Palestin ketika ini satu kekuatan dan semangat buat Palestin dalam menghadapi serangan untuk menghancurkannya.

Pun begitu yakininya, Palestin tidak boleh dihancurkan oleh Yahudi Zionis Israel kerana janji Allah, apatah lagi tindakan Israel itu adalah melampau hingga melanggar ketetapan undang-undang antarabangsa.

Jelasnya, Zionis Israel bukan sahaja menceroboh, tetapi turut membunuh kalangan yang dilarang dibunuh seperti orang tua, wanita dan kanak-kanak, termasuk menjadikan Palestin seperti penjara hingga berlakunya kebangkitan tersebut.

Oleh itu serunya, umat Islam di seluruh dunia dan negara ini mesti menyumbang kepada kebangkitan ini tanpa menunggu lagi setidak-tidaknya dengan doa sebagai usaha mempertahankan kedaulatan Islam yang hilang.

Kerana terang beliau, mempertahankan dan menegakkan agama adalah usaha paling besar manusia di sisi Allah. – HARAKAHDAILY 13/10/2023

- Advertisement -
- Advertisement -