Israel guna senjata fosforus putih di Gaza, Lubnan

Bangunan yang mengalami kemusnahan teruk akibat pengeboman tentera Israel di Gaza. - REUTERS
- Advertisement -

BAITULMAQDIS: Kumpulan hak asasi manusia, Human Right Watch (HRW) mendakwa Israel menggunakan peluru fosforus putih dalam operasi ketenteraan di Gaza dan Lubnan, penggunaan senjata yang meletakkan orang awam berisiko mengalami kecederaan serius dan kesan terhadap kesihatan dalam jangka masa panjang.

Tentera Israel pula tidak mengaku dengan menyatakan “pada masa ini tidak mengetahui penggunaan senjata yang mengandungi fosforus putih di Gaza” serta tidak memberikan ulasan mengenai dakwaan HRW mengenai penggunaan senjata itu di Lubnan.

- Advertisement -

Israel mengebom Gaza sebagai tindakan balas terhadap serangan Hamas di bandar selatan Israel yang mengorbankan sekurang-kurangnya 1,300 orang minggu ini. Setakat ini, sekurang-kurangnya 1,500 rakyat Palestin pula terbunuh dalam pengeboman tentera Israel yang turut berbalas serangan dengan kumpulan Hizbullah Lubnan.

HRW mengesahkan video yang diambil di Lubnan pada 10 Oktober dan Gaza pada 11 Oktober menunjukkan “berbilang letupan fosforus putih yang ditembak oleh artileri ke atas pelabuhan Bandar Gaza dan dua lokasi luar bandar di sepanjang sempadan Israel-Lubnan”.

Kumpulan hak asasi manusia itu memberikan pautan kepada dua video yang disiarkan di media sosial yang menunjukkan “peluru artileri fosforus putih 155 milimeter digunakan.

Saluran Televisyen Palestin turut menyiarkan video dalam beberapa hari kebelakangan ini yang menunjukkan kepulan asap putih tipis membaluti langit di Gaza yang didakwa akibat penggunaan senjata demikian.

Tentera Israel mendakwa pada 2013 telah menghapuskan peluru pelindung asap fosforus putih yang digunakan semasa serangan 2008-2009 di Gaza, yang membawa kepada dakwaan jenayah perang oleh kumpulan hak asasi manusia.

Tentera Israel ketika itu tidak menyatakan sama ada akan mengkaji semula penggunaan fosforus putih bersenjata, yang direka untuk membakar kedudukan musuh.

Peluru fosforus putih boleh digunakan secara sah di medan perang untuk membuat skrin asap, menjana pencahayaan, menanda sasaran atau membakar kubu dan bangunan. Peluru ini tidak diharamkan sebagai senjata kimia di bawah konvensyen antarabangsa, tetapi boleh menyebabkan luka melecur serius dan mencetuskan kebakaran.

Dianggap sebagai senjata pembakar di bawah Protokol III Konvensyen Mengenai Larangan Penggunaan Senjata Konvensional Tertentu. Protokol itu melarang penggunaan senjata pembakar terhadap sasaran tentera yang terletak di kalangan orang awam. – REUTERS

- Advertisement -