Rakyat bimbang kenaikan kadar tarif elektrik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) meminta kerajaan memberi jaminan bahawa pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Perbekalan Elektrik 1990 atau Akta 447 tidak akan menyebabkan kenaikan kadar tarif elektrik.

Beliau berkata, ini berikutan kebimbangan rakyat bahawa pindaan itu akan dituruti dengan peningkatan kadar tarif elektrik.

- Advertisement -

Ketika harga barang keperluan, termasuk makanan semakin mahal setiap hari, katanya rakyat gelisah kerana jika kenaikan kadar tarif elektrik menjadi realiti, dikhuatiri akan menyebabkan kenaikan kos barangan dan perkhidmatan lain.

“Pindaan ini secara umum akan menggamit perasaan ingin tahu rakyat mengenai beberapa perkara dalam keadaan ketika ini… dengan kestabilan ekonomi hari ini.

“Dalam hal ini, mohon menteri memberi penjelasan apakah langah jangka pendek dan jangka panjang bagi mengawal kenaikan tarif elektrik yang berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan bagi Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta Bekalan Elektrik 1990 atau Akta 447 di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Fakhruddin turut mencadangkan supaya kerajaan memanfaatkan penggunaan tenaga hijau seperti biomass, solar, biogas dan mini hidrogen.

Beliau berkata, antara negeri yang banyak memiliki tenaga hijau boleh baharu seperti Johor, Sabah, Sarawak dan Pahang yang boleh dimaksimumkan sebagai pemangkin pembangunan negara.

“Pindaan ini diharap dapat memangkin pertumbuhan ekonomi negara seperti pengukuhan kapasiti tenaga elektrik sedia ada serta pertambahan kapasiti Tenaga Boleh Baharu (TBB).

“Pertambahan kapasiti ini menjurus kepada keberhasilan TBB, namun keselesaan, kesejahteraan dan keperluan rakyat tetap menjadi fokus utama oleh kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/10/2023

- Advertisement -