Gabungan BN-PH untuk kepentingan Zahid dan Anwar

- Advertisement -

BENTONG: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bukanlah pilihan rakyat semasa PRU15 yang diadakan dahulu, tetapi dapat menubuhkan kerajaan kerana mereka mengadakan gabungan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, bagaimanapun di sebalik penafian pimpinan kedua-dua komponen tersebut kononnya tidak akan bekerjasama, sebenarnya mereka telah berpakat di belakang untuk bergabung.

Menurut beliau, gabungan tersebut adalah menerusi persetujuan untuk Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri dan Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula dibebaskan daripada kes pertuduhan mahkamah yang dihadapinya.

“Itulah perjuangan mereka, bukan kerana (hendak bela) nasib rakyat, kerana masalah yang dihadapi oleh rakyat. Mana ada nak perbetulkan keadaan ekonomi, tak dak,” ujarnya pada Ceramah Grand Final Perikatan Nasional (PN) sempena PRK N.36 Pelangai di Dataran Purnama, Simpang Pelangai, di sini semalam.

Tun Mahathir turut menyifatkan penafian Anwar kononnya beliau tidak campur tangan, sebaliknya urusan pembebasan Zahid adalah di bawah Peguam Negara adalah satu pembohongan, di mana kedua pemimpin itu tegasnya telah membuat perjanjian.

“Kalau dia (Anwar) tak janji dengan Zahid, nak lepaskan Zahid dari penjara (hukuman), saya tak fikir Zahid akan bekerjasama dengan Anwar. Sebab itu awal-awal lagi Pakatan diadakan. Pakatan mereka ialah perjuangan utama ialah membebaskan Zahid.

“Sekarang Zahid bebas. Tengah-tengah bicara, tiba-tiba berhenti. Tak pernah jadi macam ni dulu,” ujarnya di hadapan ribuan hadirin yang memenuhi dataran tersebut sebagai acara terakhir kempen PRK itu.

Tun turut membidas kegagalan Anwar berikutan kejatuhan terburuk Ringgit Malaysia berbanding Dolar Amerika ketika ini, selain gagal menunaikan janji berkaitan kos sara hidup, namun tiba-tiba beras juga naik harga hampir dua kali ganda.

Beliau juga menempelak Anwar yang dikatakannya turut berbohong dalam pengumuman pemberian subsidi RM80 bilion kerana menurutnya, kerajaan kini tidak mempunyai wang sebanyak itu.

“Semua ini hasil daripada kurangnya pengetahuan Anwar Ibrahim untuk menangani masalah ekonomi negara,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 7/10/2023

- Advertisement -
- Advertisement -