Royalti: Sikap serba boleh yang menjahanamkan

- Advertisement -

KITA tidak menjangkakan sebarang kemarahan daripada penyokong PH-BN berkaitan dengan pembayaran Wang Royalti Terengganu yang dirompak Umno-BN, 23 tahun lalu, kaedahnya hampir sama, diteruskan oleh Perdana Menteri ke-10 (PMX) sekarang. Ya, hampir sama kerana Terengganu pada tahun 2000, menerima pertama kalinya Wang Royalti daripada PETRONAS sebanyak RM400 juta. Dan itulah juga bayaran yang terakhir. 

Kemudian, dengan madah yang penuh berhelah, Umno Terengganu mengusulkan kepada Tun Mahathir untuk menarik kembali bayaran itu, sehingga dikatakan oleh Tun, Umno Terengganu ‘so stupid’ merujuk kepada bodoh dan jahatnya rancangan itu. Selebihnya adalah sejarah yang kita semua maklum. 

Bagi penyokong dan ahli PH-BN, perkataan adil adalah perlu ditafsirkan semula dari sebelah mereka sekarang. Buatlah apa sahaja, semua dikira betul, jika PMX yang melakukannya walaupun sama dengan kelakuan Umno. Sewaktu dahulu, dengan kes yang sama, mereka menentang dan berikrar bagi memberikan hak kepada negeri pengeluar minyak royalti yang berpatutan. Tetapi tidak lagi kini. 

Dendam mereka sebenarnya adalah kepada rakyat Terengganu. Menyalurkan wang itu kepada badan lain, adalah menyalahi prinsip federalism dan menghina pilihan rakyat. Kenapa di Sarawak dan Sabah tidak pula diperlakukan demikian? Kerana kerusi sokongan kepada kerajaan mereka yang hampir rebah ini, ada di sana. Itu sahaja.

Dalam Parlimen dikatakan kepada pembangkang, datang berbincang untuk diberikan peruntukan, jika tidak, tiada akan diberikan sebarang peruntukan. Begitulah syaratnya. Dan apabila Menteri Besar Terengganu dengan penuh diplomatik, datang menghulurkan salam sebagai salah sebuah Negeri Persekutuan, layanannya sama sahaja. Masih tidak memberikan hak yang sepenuhnya kepada Terengganu.

Sikap orang beriman adalah membantu saudaranya yang memerlukan pertolongan dengan sesungguhnya hati. Apa lagi jika perkara itu adalah hak saudaranya, wajib ditunaikan tanpa berlengah. Manakala sikap orang munafik di dalam surah at-Taubah dijelaskan sebagai membantu dalam perkara mungkar dan mencegah dalam perkara makruf. Dan mereka akan saling bergembira dengan setiap kezaliman yang dilakukan kumpulan mereka. 

Al-Quran adalah mukjizat, hanya sahaja kita yang mesti sentiasa membeleknya bagi mencari mutiara atau rahsia yang Allah beritahu. Oleh itu ulamak adalah manusia yang paling mengetahui akan kehendak al-Quran kerana sentiasa menjadikan al-Quran panduan. Bukannya puak liberal yang serba boleh. Jadi syaitanpun dia, jadi malaikatpun boleh.

Kepada Allah, kita rakyat Terengganu dan Kelantan berserah atas kezaliman ini.

*Untuk rekod, jumlah Wang Royalti tahun 2000 ialah sekitar RM800 juta dan Petronas membayar RM400 juta iaitu 50 peratus. Manakala tahun 2023 dianggarkan sekitar RM1.4 bilion dan sehingga kini, Terengganu hanya diberikan RM405 juta iaitu hanya kira-kira 30 peratus. 20 peratus lebih rendah daripada zaman Umno yang jahat dan zalim dahulu. 

MOHD NASIR ABDULLAH
3 Oktober 2023 – HARAKAHDAILY 3/10/2023 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -