Naik taraf loji tingkat pengeluaran air

- Advertisement -

KOTA BHARU: Masalah bekalan air yang dihadapi pengguna di sekitar Kota Bharu akan dapat diatasi ekoran kerja-kerja menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Tanjung Mas giat dijalankan sekarang.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Dato’ Dr Izani Husin berkata, kerja-kerja menaik taraf loji tersebut dilaksanakan tiga pakej melibatkan kos RM88.1 juta.

Katanya, projek terbabit menggunakan peruntukan daripada Perbadanan Aset Air Bhd (PAAB) bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran air di LRA Tanjung Mas.

“Kapasiti loji tersebut asalnya hanya mampu mengeluarkan 7 juta liter sehari (JLH).

“Projek itu disiapkan pada 31 Ogos lepas yang melibatkan penggalian empat telaga baharu yang berjaya menghasilkan penambahan kuantiti air kepada 12 JLH.

“Pakej dua pula melibatkan penambahan 10 telaga dan akan ditender pada November nanti,” ujarnya di sini.

Manakala pakej ketiga membabitkan pembinaan sebuah loji rawatan air baharu yang berkapasiti 22 JLH dan dijangka siap pada akhir 2027.

Dr Izani juga berkata, kerja-kerja menaik taraf LRA tersebut dijangka mampu meningkatkan jumlah pengeluaran air mentah kepada 30 JLH.

Menurutnya jumlah itu disumbang 8 JLH dari loji lama dan 22 JLH (loji baharu).

“Adalah diharap dengan inisiatif itu dapat menampung keperluan air kepada pengguna di sekitar Kota Bharu,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 27/9/2023

- Advertisement -