317 mangsa banjir Kedah masih di PPS

ALOR SETAR: Kedah mencatatkan jumlah mangsa banjir setakat ini seramai 317 orang yang membabitkan 95 keluarga.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, jumlah itu melibatkan 21 keluarga (75 orang) di Pokok Sena, 25 keluarga (92 orang) di Kota Setar dan 25 keluarga (150 orang) di Kubang Pasu.

Advertisement

Semua mangsa berkenaan ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS), masing-masing di Kubang Pasu dan Kota Setar sementara sebuah di Pokok Sena.

“Saya ingin mengingatkan kepada penduduk yang tinggal di kawasan yang sering dilanda banjir agar mengambil langkah berhati-hati dan patuh kepada arahan pihak berwajib.

“Sekiranya diarahkan berpindah ke PPS, segeralah berbuat demikian,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.

Selain itu, beliau mengingatkan mangsa yang terlibat agar membuat laporan polis berhubung kerosakan yang dialami seperti prosedur yang ditetapkan.

Katanya, kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan berupa pek makanan apabila semua mangsa yang berada di PPS pulang ke kediaman masing-masing.

“Saya mengharapkan agar banjir segera surut dan semua yang tinggal di PPS dapat kembali ke rumah masing-masing,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, ujar Sanusi bantuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara ( NADMA) akan diberikan kepada mangsa melalui prosedur yang ditentukan oleh agensi berkenaan.

“Saya bersyukur kerana banjir kali ini tidaklah teruk sangat. Contoh di Changlun, air naik hanya di bawah paras tiga kaki. Bagaimanapun, pemantauan akan dilaku dari semasa ke semasa,”

“Kedah sebelum ini pernah mengalami banjir paling teruk iaitu pada 2010,” katanya lagi.

Berikutan itu beliau menasihati penduduk terutama yang tinggal di tepi sungai, mengawasi anak masing-masing untuk mengelak berlaku perkara yang tidak diingini walaupun setakat ini belum berlaku kemalangan melibatkan kehilangan nyawa. – HARAKAHDAILY 27/9/2023