Wau besar untuk naikkan semangat anak muda

- Advertisement -

BENTONG: “Niat saya nak naikkan semangat anak muda, jangan takut ‘keluar’, kena berani berubah,” kata Khairul Anuar Abdul Hamid, 44.

- Advertisement -

Beliau tidak pernah menyangka akan berlaku pilihan raya kedua secepat ini di Pahang setelah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Pelangai, Dato’ Seri Johari Harun daripada Barisan Nasional (BN) meninggal dunia dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam, 17 Ogos lalu.

Mengambil semangat kebangkitan ‘gelombang’ anak muda yang sedang melanda di serata negeri seluruh Malaysia, maka tercetuslah idea dan ilham anak jati kelahiran Kelantan itu untuk menghasilkan sesuatu bersifat ‘wow’ untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai.

“Saya lahir anak Kelantan, semangat anak jati Kelantan, dah tradisi kita setiap tahun, dari atuk, ayah sampai ke saya, setiap tahun kita akan buat replika wau besar.

“Selama ini kita hanya mampu tengok kemeriahan macam-macam replika unik dinaikkan di tempat orang, kali ini rezeki kita pula naikkan replika di tempat kita,” ujarnya.

‘Jurutera’ wau gergasi ini mengambil masa lebih kurang seminggu melakukan proses penghasilan rangka dan ia mendapat sokongan daripada semua pihak termasuk dan dukungan padu Ketua PAS Cawangan Felda Kemasul, Samsuddin Abdullah serta ahli-ahli cawangan.

“Saya tak kisah tentang kos, siapa nak sumbang saya terima, saya tak buat benda-benda yang melanggar undang- undang, ‘spec’ semua saya ikut.

“Tarik tali semua saya buat, ikat di tiang bendera sini, tiang sana semua saya buat, niat saya satu, nak highlightkan kampung saya,” jelas Anuar.

Kemuncaknya, pada petang sambutan Hari Malaysia 16 September lalu, beliau dibantu ahli jawatankuasa cawangan, pemuda dan penyokong PAS telah berjaya ‘melayangkan’ wau gergasi PERIKATAN NASIONAL setinggi 25 kaki gah berdiri di titik tumpu jalan masuk Kampung Felda Kemasul.

“Bukan satu, tapi dua wau saya buat. Yang ni kecik sikit daripada yang mula-mula naik, 22 kaki je, tapi yang ni sebenarnya mula-mula saya buat,” ujarnya teruja menunjukkan replika wau kedua yang berjaya dilàncar di hadapan kediaman beliau, baru-baru ini.

Buat julung kalinya warga Kemasul melakar sejarah tersendiri, mengangkat idea serta aspirasi pemikiran anak muda, pekerja kampung biasa-biasa menjadi mercu tanda kebanggaan warga Felda.

“Alhmdulillah, kita berjaya pacak batu tanda awal, PERIKATAN NASIONAL dah mula bertapak di sini. Menang kalah bukan soal,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 27/9/2023

- Advertisement -