Hina ajaran Islam: Howard Lee wajib minta maaf

- Advertisement -

DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) mendesak Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee memohon maaf di atas tindakan tidak bertanggungjawab mengeluarkan pandangan menyeleweng dan tidak tepat terhadap tafsiran ayat suci al-Quran.

Walaupun secara asasnya tidaklah menjadi kesalahan kepada golongan bukan-Islam untuk menghayati ayat-ayat al-Quran mahupun apa jua ajaran agama Islam yang berkaitan, namun, tidak harus bagi seseorang itu memberikan tafsiran secara longgar dan semberono terhadap ayat al-Quran. 

Malangnya, Howard Lee bukan sahaja tidak bertanggungjawab terhadap kenyataannya, bahkan sehingga kini beliau masih tidak meminta maaf dan menarik balik kenyataan tersebut. Apakah kenyataan sedemikian masih tidak tergolong di bawah kesalahan 3R? 

DUPP juga tertanya-tanya apakah di sana tidak terdapat dalam kalangan agamawan Pakatan Harapan (PH) yang bersedia memberikan teguran terhadap Howard Lee? Apakah prinsip sebenar PH terhadap isu-isu sebegini sehingga membiarkan perkara teras sebegini masih tidak diselesaikan secara tuntas?

Situasi ini jelas menunjukkan golongan DAP begitu menguasai PH sehingga kaki dan tangan pihak lain ibarat diikat rapi meskipun menyentuh secara langsung berkaitan agama Islam. 

Adakah Tuan Guru Haji Hadi yang mengajar tafsir sejak sekian lama mereka anggap sebagai ‘menunggang agama’, Howard Lee menafsir ayat al-Quran sesuka hati pula dianggap sebagai ‘pejuang agama’? 

DUPP ingin sekali lagi menyatakan ketegasan supaya Howard Lee memohon maaf di atas keceluparan beliau tempoh hari. Tindakan tersebut boleh dianggap melakukan penghinaan terhadap ajaran agama. 

Sekian, terima kasih.

YB USTAZ DATO’ HAJI AHMAD YAHAYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 24/9/2023

- Advertisement -
- Advertisement -