Apa pendirian sebenar PMX terhadap LGBTQ? 

- Advertisement -

SAYA mengikuti jawapan YAB Perdana Menteri mengenai pendiriannya berkaitan ideologi LGBTQ yang disiarkan dalam satu wawancara di sebuah portal berita antarabangsa. 

Sewajarnya Malaysia memberikan satu pendirian yang jelas dalam isu LGBTQ kerana ancaman ideologi ini sedang berkembang dan cuba memaksa dunia lain menerima pakai ideologi LGBTQ dalam negara. 

Kenyataan bahawa ‘hak mereka tidak wajar diganggu’ oleh Perdana Menteri baru-baru ini sangat terbuka kepada pelbagai tafsiran. Justeru, apakah pendirian sebenar Kerajaan Malaysia ketika ini?

Seharusnya beliau memberikan pendirian yang jelas berhubung pendirian Malaysia terhadap LGBTQ ini. Meskipun dengan hasrat merawat golongan ini balik ke pangkal jalan, namun pendirian mengharamkan LGBTQ ini tetap memerlukan ketegasan yang tinggi. 

Isu LGBTQ bukan patut dilihat dalam konteks penindasan semata-mata, tetapi soal kerosakan struktur sosial dan ketamadunan bangsa. Mereka sendiri memilih mengasingkan diri daripada majoriti masyarakat yang normal. 

Oleh itu, tidak wajar seolah-olah kita menyalahkan orang lain mendiskriminasi golongan ini. Ironinya, jawapan beliau sendiri kelihatan berbelit-belit dan cuba lari dari menentukan sikap tegas demi menyelamatkan nilai kemanusiaan sebagai khalifah di bumi ini.

Apakah susah bagi Kerajaan menyatakan ketegasan terhadap golongan yang mensongsangkan fitrah manusiawi?

Sekian, terima kasih.

YB USTAZ DATO’ HAJI AHMAD YAHAYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 24/9/2023

- Advertisement -
- Advertisement -