12 warga asing tanpa dokumen ditahan polis

- Advertisement -

KOTA BHARU: Polis menahan lapan lelaki warganegara India dan empat lelaki warga Bangladesh di dalam sebuah bas ekspres di tepi jalan berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang semalam.

- Advertisement -

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata, tangkapan itu berjaya dilakukan pada Op Cantas kira-kira jam 1 pagi.

Menurut beliau pihaknya menahan sebuah bas ekspres dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Kota Bharu.

Tambahnya, hasil pemeriksaan terhadap semua penumpang dalam bas terbabit mendapati lapan lelaki warganegara India dan empat lelaki Bangladesh gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

“Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang untuk disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata kejayaan tangkapan warga asing dalam operasi yang dijalankan itu hasil daripada kerjasama Jabatan Imigresen dan polis.

Kata beliau ia bertujuan untuk mengekang pergerakan warga asing yang tiada dokumen di negara ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung pendatang asing tanpa izin diminta menghubungi talian 09 912 1222. – HARAKAHDAILY 24/9/2023

- Advertisement -