Kesedaran mengundi penting pastikan negara ditadbir orang Islam

BENTONG: Nabi Muhammad SAW menangguhkan sementara ibadat umrah sebagai menghormati perjanjian Hudaibiah yang ditandatangani dengan kaum Quraisy ketika era awal perkembangan Islam.

Advertisement

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, situasi itu menggambarkan memilih pemimpin begitu penting sehingga Rasulullah SAW menanggguhkan sementara ibadat umrah.

Katanya, Nabi Muhammad SAW menggunakan politik bagi tujuan menyatukan ummah (persaudaraan Islam).

Sebaliknya kata beliau apa yang berlaku sekarang ada orang Islam memandangkan mudah terhadap tanggungjawab memilih pemimpin sehingga ramai tidak mahu keluar mengundi.

“Sedangkan kaum lain menggunakan peluang pilihan raya dengan keluar mengundi beramai-ramai untuk memilih pemimpin bagi mentadbir negeri atau negara.

“Kesedaran terhadap tanggungjawab mengundi begitu penting bagi memastikan negara kita ditadbir oleh orang Islam,” katanya pada ceramah perdana sempena Pilihan Raya Kecil DUN Pelangai di Dataran Purnama, Simpang Pelangai, malam tadi.

Hadir sama Naib Presiden PAS Dato’ Idris Ahmad, Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli, Presiden Muafakat Nasional Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang Dato’ Seri Saifuddin Abdullah.

Turut hadir Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Rosli Abdul Jabar, Ahli Parlimen Arau Dato’ Seri Shahidan Kassim dan calon PN PRK Pelangai Cikgu Kasim Samat.

Ribuan penduduk tempatan hadir pada ceramah tersebut termasuk petugas pilihan raya PAS dan PN dari seluruh negara.

Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, sebelum berlangsung Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan parti-parti orang Melayu bergabung bagi membina kekuatan orang Melayu.

Bagaimanapun katanya, cadangan itu ditolak Umno selepas PRU-15 dengan memilih bekerjasama dengan Pakatan Harapan yang turut disertai DAP.

Hujah itu turut disokong Annuar dengan menjelaskan Presiden Umno Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi memilih untuk bekerjasama dengan PH dan DAP berbanding bekerjasama dengan parti orang Melayu.

Oleh itu kata beliau hanya wadah PN sahaja sekarang yang berusaha untuk menyatukan orang Melayu di negara ini kerana Umno sudah menyimpang daripada perjuangan asal.

“Pemimpin Umno lebih memetingkan kepentingan peribadi berbanding ummah yang perlu ditolak rakyat Dun Pelangai pada PRK 7 Oktober ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/9/2023