Kerajaan perlu cepat atasi krisis beras dalam negara

Mohd Zai Mustafa
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenaikan harga beras import yang diumumkan oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) pada 1 September daripada RM2,350 kepada RM3,200 satu tan metrik lalu telah menimbulkan keresahan majoriti rakyat di Malaysia.

Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa berkata demikian berikutan kenaikan harga beras yang menjadi makanan asasi rakyat sangat membebankan mutakhir ini.

- Advertisement -

“Beras merupakan sumber makanan utama untuk sesebuah keluarga di negara ini. 

“Dengan kadar kos sara hidup yang kian meningkat di negara kita, sudah pastinya semua pihak akan merasa kenaikan harga tersebut dan seterusnya menambahkan lagi beban pengguna,” katanya. 

Beliau menegaskan,  kerajaan perlu bertindak segera bagi mengatasi perkara ini agar tidak berlanjutan dalam tempoh yang panjang. Oleh itu, pihak kerajaan perlu melakukan tindakan bijak untuk mengatasi masalah ini. 

“Antara kawalan segera yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan ialah dengan memberi subsidi tertentu dan bersasar terutama kepada golongan B40 dan M40,” ujarnya kepada HarakahDaily.

Justeru, katanya lagi antara langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan dalam jangka masa panjang adalah seperti memberikan bantuan-bantuan khas dan intensif kepada para petani untuk terus mengusahakan penanaman padi bagi menghasilkan pendapatan yang lebih stabil.

“Peranan kerajaan pada masa kini adalah terhadap kawalan harga seperti biji benih, baja, racun, mesin dan peralatan lain yang terlibat dengan industri pertanian padi. 

“Sehubungan itu, kawalan dan penetapan satu harga yang tertentu seharusnya dapat dilaksanakan segera bagi menyelesaikan kenaikan harga beras secara lebih drastik. 

“Pelaksanaan yang cepat dapat memberikan jaminan kepada mereka yang terlibat untuk terus mengusahakan penanaman padi bagi menghasilkan pendapatan yang lebih stabil,” jelas beliau.

Pihak kerajaan juga, tambah Mohd Zai,  perlu memainkan peranan penting dalam menetapkan harga padi yang dihantar ke kilang-kilang bagi pemprosesan beras. Kestabilan harga dapat membantu memberi jaminan kepada petani mendapat pulangan yang lebih baik. 

“Seterusnya, golongan petani  dapat meningkatkan dan meneruskan usaha mereka mendapatkan pendapatan yang tinggi. Secara tidak langsung, dapat memberikan hasil dan pulangan kepada keluaran beras tempatan dan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada beras import,” hujahnya.

Seterusnya Mohd Zai turut memberitahu bahawa, pihak kerajaan juga perlu membentuk satu konsertium pengimport dan pembekal beras tempatan bagi sama-sama membantu mereka dalam usaha menstabilkan bekalan dan menentukan harga beras agar tidak membebankan rakyat secara mendadak. 

“Tujuannya agar bekalan beras tidak dikawal oleh kumpulan kartel yang akan memanipulasikan harga dan stok bekalan. 

“Harga beras mesti diletakkan dibawah senarai bekalan terkawal dengan harga yang ditentukan oleh pihak kerajaan sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY  13/9/2023

- Advertisement -