Beri dana kepada NGO bantu pulihara alam sekitar

Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran agar membantu mendanai badan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan aktiviti menjaga kelestarian alam sekitar, kata Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Alam Sekitar Sains dan Perladangan, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

- Advertisement -

Menurut beliau, itu adalah satu daripada tiga rumusan daripada perbincangan dalam program Diskusi Hala Tuju Alam Sekitar Bersama NGO, dan Pakar anjuran Anjuran Yayasan Strategik Lestari (YSL) di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

“Yang pertama, perlu kesedaran rakyat ditingkatkan melalui pendidikan, melalui program dan sebagainya. Yang kedua kita perlu satu inisiatif, mungkin dari segi dana, pendanaan kepada NGO untuk mereka turut sama,” ujar beliau kepada Harakahdaily.

Tambahnya, ramai golongan kurang berkemampuan yang terlibat aktif dalam NGO alam sekitar membantu melakukan aktiviti sukarela membersihkan sungai dan sebagainya.

“Mereka yang kutip sampah di lapangan sebenarnya menyumbang kepada negara, membuat pengasingan sampah. Mereka sebenarnya sepatut dia ada dapat token daripada pihak kerajaan,” katanya.

Rumusan ketiga pula menurut beliau ialah dari segi penguatkuasaan peraturan undang-undang yang sedia ada yang perlu dikemaskini jika ada terdapat mana-mana kelompangan.

Antaranya, menurut Ustaz Tuan Ibrahim, ialah berkaitan kelemahan yang terdapat dalam proses Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang sering dimanipulasi pihak swasta.

Ini, katanya, termasuk kelemahan dari segi kekurangan penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar di samping memerlukan kemudahan teknologi, dron dan kenderaan untuk memperkasakan aktiviti penguatkuasaan.

Mengulas tentang penyertaan NGO dan pakar-pakar berkaitan isu ini dalam diskusi tersebut, beliau menzahirkan keterujaan melihat minat mereka yang sangat tinggi terhadap agenda tersebut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian turut menzahirkan keyakinan bahawa lebih banyak pihak akan tampil bekerjasama sekiranya penyertaannya dibuka lebih luas dan melibatkan lebih banyak pihak.

“Selepas ini kita akan kita akan ada libatkan NGO-NGO yang ada dan kita akan segmenkan.  Contohnya segmen dalam bidang pendidikan, ada satu team; segmen dari segi kesedaran masyarakat, isi rumah, satu team; segmen peringkat kesedaran undang-undang, satu team.

“Dan kita akan tengok kita cuba buat kluster kepada setiap isu alam sekitar dan setiap kluster itu akan menyumbang kepada tindakan-tindakan seterusnya,” ujar beliau.

Program turut disertai oleh beberapa orang pensyarah universiti tempatan dan juga pemimpin NGO berkaitan alam sekitar seperti All Women Empowerment To Accelerate (AWETA), Kelab Cinta Alam Kelantan dan Persatuan Lestari Alam Malaysia.

Selain itu, turut menyertai ialah Pertubuhan Citra Lestari Alam Negeri Sembilan (Clean9), Pertubuhan Lestari Alam Selangor (Alam Selangor), Citra Lestari Alam Negeri Sembilan, Pertubuhan Prihatin Alam (PELIHARA) dan Lestari UKM. – HARAKAHDAILY 11/9/2023

- Advertisement -