Surah Maryam: Kekuatan bersandar kepada Allah (7)

- Advertisement -

KEGAGALAN hujah orang yang tidak beriman

- Advertisement -

ثُمَّ نُنَجِّى ٱلَّذِينَ ٱتَّقَوا۟ وَّنَذَرُ ٱلظَّـٰلِمِينَ فِيهَا جِثِيًّا

“Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertakwa, dan Kami akan biarkan orang-orang yang zalim (dengan kekufurannya dan maksiatnya) tinggal berlutut di dalam neraka itu.” (72)

وَإِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتُنَا بَيِّنَـٰتٍ قَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لِلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَىُّ ٱلْفَرِيقَيْنِ خَيْرٌ مَّقَامًا وَأَحْسَنُ نَدِيًّا

“Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata, berkatalah orang-orang yang kafir kepada orang-orang yang beriman: “Puak yang manakah (antara kami dan kamu) yang lebih baik tempat tinggalnya dan lebih elok majlis perhimpunannya?” (73)

Apabila ayat-ayat al-Quran dibaca oleh Rasul, orang-orang kafir mempertikaikan dengan bertanya, manakah yang lebih baik antara Rasul dan mereka (yang tidak mengikut ajaran Nabi)? 

Kebetulan pada ketika itu, orang Islam hidup dalam kemiskinan sedangkan orang bukan-Islam hidup dalam kesenangan (ada pangkat, kedudukan, harta dan ramai pengikut). Jadi, yang mengikut ajaran Nabi ialah orang-orang yang ‘kemaca’ (orang biasa). 

Dalam Islam, benar atau salah tidak ditentukan oleh kekayaan atau kemiskinan tetapi ditentukan oleh wahyu. Apa sahaja yang bertepatan dengan sunnah Nabi, maka itulah kebenaran. 

Sebagai contoh, antara masjid dan konsert, mana satu kehadirannya lebih ramai? Semestinya konsert. Walaupun jarang-jarang sekali ketika jemputan Ustaz Azhar Idrus atau Ustaz Wadi Anuar, ramai yang memenuhi masjid hingga ke luar perkarangannya. Namun pada hari biasa, tidak ramai pun di masjid. Begitu juga dengan dikir barat, ada yang sanggup datang awal. 

Walaupun ramai, namun tidak boleh dijadikan sebagai hujah bahawa ia adalah benar. Sebab kayu ukur sama ada benar atau salah adalah berdasarkan al-Quran dan Hadis. 

Tiada nilai langsung jika tidak beriman

وَكَمْ أَهْلَكْنَا قَبْلَهُم مِّن قَرْنٍ هُمْ أَحْسَنُ أَثَـٰثًا وَرِءْيًا

“Dan beberapa banyak kaum-kaum (yang ingkar) sebelum mereka, kami telah binasakan, sedang mereka lebih elok alat-alat kesenangannya dan lebih elok keadaannya pada pandangan mata.” (74)

Orang yang terdahulu daripada mereka (orang-orang kafir) telah lama dihancurkan. Jika diperhatikan, orang Arab Makkah tidak mempunyai kepakaran dalam bidang keilmuan mahupun teknologi. Kemasyhurannya cuma dua perkara, yang pertama adalah kebolehan dalam sastera seperti syair. Pertandingan syair diadakan pada setiap tahun. Syair yang menang ditampal di Kaabah. 

Kemasyhuran yang kedua ialah kecekapan dalam perniagaan. Seperti yang dijelaskan dalam surah Quraisy, mereka mengembara ke suatu tempat pada musim panas dan ke tempat yang lain pada musim sejuk. 

Zaman sebelumnya, kaum lain telah masyhur dengan kemajuan teknologi, contohnya: 

1. Ratu Balqis yang berjaya membina suatu empangan besar Maarab (atau Maarib) di Saba’. Empangan tersebut boleh menampung air sehingga kerajaan Saba’ terkenal dalam sejarah dengan hasil pertanian. Namun akibat tidak beriman, empangan tersebut akhirnya retak dan pecah sehingga menenggelamkan seluruh negeri Saba’. 

2. Kaum ‘Ad yang membina bangunan tinggi bertingkat-tingkat di tepi bukit. Ketinggiannya boleh dianggarkan seperti bangunan di Petra, Jordan kini yang menjadi pusat pelancongan. 

3. Kaum Tsamud yang menebuk batu di tepi bukit dan menjadikannya sebagai rumah. 

Walaupun semuanya dilihat begitu hebat, namun bandar mereka telah dihancurkan dan binaan juga telah diruntuhkan dengan kuasa Allah S.W.T. Maka, walaupun teknologi hebat setara mana pun, tetapi kalau tidak beriman, ia tetap tiada nilai. 

Sumber kebenaran adalah berpandukan pada al-Quran. Orang beriman hendaklah sentiasa bersama dengan al-Quran. Nilailah sesuatu perkara itu dengan kaca mata al-Quran. Sebab al-Quran menjadi petunjuk kepada orang yang bertakwa. 

Cuba kita perhatikan, adakah segala yang dilaksanakan oleh kerajaan menepati ajaran al-Quran? Kalau menepati, maka ia adalah betul walaupun kita tidak menyukainya. Sebab nama lain bagi al-Quran ialah al-Furqan iaitu memisahkan antara yang hak dan batil. 

Begitu indah dunia, siapa pun akan tergoda

قُلْ مَن كَانَ فِى ٱلضَّلَـٰلَةِ فَلْيَمْدُدْ لَهُ ٱلرَّحْمَـٰنُ مَدًّا ۚ حَتَّىٰٓ إِذَا رَأَوْا۟ مَا يُوعَدُونَ إِمَّا ٱلْعَذَابَ وَإِمَّا ٱلسَّاعَةَ فَسَيَعْلَمُونَ مَنْ هُوَ شَرٌّ مَّكَانًا وَأَضْعَفُ جُندًا

“Katakanlah (wahai Muhammad): Sesiapa yang berada di dalam kesesatan, maka biarlah (Allah) Ar-Rahman yang melanjutkan baginya suatu tempoh yang tertentu, hingga apabila mereka melihat apa yang dijanjikan kepada mereka, sama ada azab sengsara dunia ataupun azab kiamat, maka (pada saat itu) mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lebih buruk kedudukannya dan lebih lemah penyokong-penyokongnya. (75)

Allah meminta agar Rasulullah S.A.W membiarkan sahaja orang-orang yang tidak mahu menerima kebenaran dan ingin berada dalam kesesatan. Akan tiba masanya nanti mereka akan bertemu dengan kebenaran, bak kata orang Melayu, “Bertemu Rabu dengan Khamis”. 

Mungkin sekarang kita tidak boleh berbuat apa-apa kepadanya (orang jahat) sebab dia ada kuasa dan kedudukan. Tetapi apabila kuasanya sudah hilang, tindakan mahkamah boleh dikenakan terhadapnya. Di akhirat pula, dia akan bertemu dengan azab Allah S.W.T:

فَكَشَفْنَا عَنْكَ غِطَاءَكَ فَبَصَرُكَ الْيَوْمَ حَدِيدٌ

“Maka Kami singkapkan daripadamu tutup (yang menutupi) matamu, maka penglihatanmu pada hari itu amat tajam.” (Qaf: 22)

(Pesan orang-orang tua, ayat ini boleh dibaca sebagai penawar kepada ‘kelabu mata’ (mata rabun). Bacalah sebanyak 7 kali setelah membaca doa selepas azan dan tiupkan pada dua kuku ibu jari tangan kemudian sapu di kedua-dua belah mata) 

Di dunia semua terlihat sangat cantik, tetapi di akhirat semuanya akan terlihat sangat buruk. Sebagai contoh, hantu pun terlihat cantik pada waktu malam. Pelakon-pelakon pula walaupun mereka terlihat cantik dalam kaca televisyen, tetapi mereka kelihatan biasa sahaja di luar lakonan. 

Orang kafir yang terpesona dengan kehidupan dunia akan berasa seronok dengannya. Di akhirat nanti, pandangan kita akan menjadi tajam (berdasarkan ayat di atas). Sebab menurut ulamak, dunia adalah bukan hakikat atau realiti. Hakikat yang sebenar berada di akhirat. 

Dalam satu kata-kata yang disandarkan kepada Saidina Ali Bin Abi Talib [1]:

الناس نيام، فإذا ماتوا، انتبهوا

“Manusia itu sedang tidur, apabila mereka mati, barulah mereka tersedar.”

Walaupun kita hidup, ke sana dan ke mari, tetapi hakikat sebenar ialah kita sedang tidur. Apa yang kita hadapi saat ini adalah umpama mimpi. Dalam mimpi, kita berkahwin dengan anak raja. Selepas terjaga, ternyata yang dipeluk ialah bantal busuk. 

Oleh sebab itu, kebahagiaan yang sebenar tidak ditemui di dunia. Walaupun kita berasa tenang, tetapi ia bukanlah kebahagiaan yang sebenar. Kebahagiaan yang sebenar adalah di akhirat ketika kita dimasukkan ke dalam syurga. 

Di akhirat, orang yang hidup semula tidak akan mati buat selama-lamanya. Oleh itu, kita haruslah merancang untuk kehidupan di akhirat agar dapat hidup dengan baik. Sekiranya kita tersilap di dunia, maka di akhirat nanti kita akan menanggungnya. Perbandingannya umpama yang hidup dalam penjara dan istana. Sudah pasti kedua-duanya tidak sama. Sebab yang hidup dalam penjara sentiasa menghadapi kesusahan manakala dalam istana pula, makanan sentiasa ada. 

Bagaimana nak merancang? Rancanglah dengan beriman dengan iman yang benar dan beramal dengan amal soleh. Menurut ulamak, amal soleh ialah amal yang menepati sunnah Nabi dan bersesuaian dengan keadaan, masa dan tempat. 

Sebagai contoh: 

1. Menunaikan solat di cabang empat jalan, walaupun solat itu bagus tetapi itu bukanlah tempatnya. 

2. Membaca al-Quran di masjid, kalau ada orang yang sedang menunaikan solat, kita dilarang untuk memperkuat bacaan kerana ia akan mengganggunya. Sebab ibadah solat itu adalah yang lebih utama. 

3. Kalau ada orang yang lapar dan kita ialah orang yang mempunyai banyak ilmu, berilah makan kepadanya terlebih dahulu sebelum kita mengajar (menyampaikan ilmu).  

Iman dan amal soleh adalah kunci kejayaan

وَيَزِيدُ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ٱهْتَدَوْا۟ هُدًى ۗ وَٱلْبَـٰقِيَـٰتُ ٱلصَّـٰلِحَـٰتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ مَّرَدًّا

“Dan Allah akan menambahi petunjuk bagi orang-orang yang mahu menurut jalan petunjuk, dan amal-amal yang baik yang tetap kekal faedah-faedahnya itu, lebih baik balasan pahalanya di sisi Tuhanmu dan lebih baik kesudahannya.” (76)

Sesiapa yang melakukan amal yang baik dan mengikuti jalan yang benar, Allah S.W.T akan memberi hidayah kepadanya secara berterusan. Kalau kita beriman, rajin mencari ilmu dan beramal dengan ajaran Nabi, maka iman kita akan semakin meningkat. 

Sebaliknya, jika setelah mengucap dua kalimah syahadah, kita suka melengahkan solat, tidak berusaha untuk mengerjakan solat sunat dan tidak mendengar kuliah agama, maka iman kita statik dan tidak akan bertambah. 

Kalau kita mendengar kuliah agama dan mengerjakan solat sunat setakat yang mampu, lama-kelamaan kebaikan itu akan bertambah dan kita pula akan kekal dengan kehidupan yang baik di akhirat: 

أَفَرَءَيْتَ ٱلَّذِى كَفَرَ بِـَٔايَـٰتِنَا وَقَالَ لَأُوتَيَنَّ مَالًا وَوَلَدًا

“Maka tidakkah engkau merasa hairan memikirkan (wahai Muhammad), akan orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami serta dia berkata: “Demi sesungguhnya aku akan diberikan harta kekayaan dan anak-pinak pada hari akhirat?” (77)

Allah S.W.T bertanya kepada Rasulullah S.A.W, tidakkah Baginda berasa pelik dengan perangai orang kafir yang berfikir untuk menginginkan kehidupan yang baik di akhirat? Ibarat orang yang tidak pergi ke sekolah tetapi memberitahu orang lain bahawa dia bakal memperoleh 9A. Sudah tentu kita berasa pelik, bukan? 

Orang kafir sudah tentu tidak layak untuk bercakap mengenai akhirat. Sebab mereka tidak mempercayai hari akhirat. Selain menolak Allah, orang kafir juga menolak hari akhirat. Maknanya apa sahaja yang berkait dengan agama, mereka menolaknya. Jadi, macam mana mereka boleh berfikir untuk mendapat keuntungan di akhirat? 

Ada yang berasa kasihan terhadap orang kafir yang baik akhlaknya dan membantu orang lain tetapi mereka tidak memperoleh pahala sedikit pun. Bukankah mereka sendiri yang tidak mempercayai Allah dan hari akhirat. Sedangkan Allah jualah yang memberikan pahala dan menentukan hari akhirat. Maka, tiada guna untuk kita mempertikai sama ada mereka mendapat pahala atau pun tidak. 

Contoh lain ialah seseorang yang (tidak bekerja dengan orang lain) mencuci masjid atau memotong rumput, tidak perlulah kita mengungkit mengenai gajinya sebab dia tidak bekerja dengan sesiapa. Begitu juga dengan orang yang tidak beriman, mereka tiada tempat untuk bergantung. Tempat gantung itu ibarat iman:

أَطَّلَعَ ٱلْغَيْبَ أَمِ ٱتَّخَذَ عِندَ ٱلرَّحْمَـٰنِ عَهْدًا

“Adakah dia telah mengetahui akan perkara yang ghaib, atau adakah dia telah membuat perjanjian dengan (Allah) Ar-Rahman mengenainya?” (78)

Orang kafir yang berharap untuk mendapat kebaikan di akhirat, dari manakah mereka mengetahui mengenai akhirat sedangkan mereka langsung tidak mempercayai Allah? 

كَلَّا ۚ سَنَكْتُبُ مَا يَقُولُ وَنَمُدُّ لَهُۥ مِنَ ٱلْعَذَابِ مَدًّا

“Tidak sekali-kali! Kami akan menulis apa yang dikatakannya, dan Kami akan tambahi baginya dari azab seksa, berganda-ganda.” (79)

Apabila seseorang itu tidak beriman, maka tiada tempat untuknya di akhirat. Walau dia baik setara mana sekali pun, tiada faedah cuma dia boleh melihat perbuatannya nanti walau sebesar zarah. Seperti yang telah dinyatakan dalam surah al-Zalzalah: 

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُۥ

“Maka barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat zarrah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya,” 

(al-Zalzalah: 7)

وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُۥ

“Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat zarrah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.” 

(al-Zalzalah: 8)

Menurut ulamak, orang kafir akan dapat melihat perbuatannya tetapi tiada kesan apa-apa. Ia tidak bernilai dan tidak dapat membantunya di akhirat. Ibaratnya walaupun soalan peperiksaan dapat dijawab dengan baik, namun sekiranya tidak berdaftar, maka markah tidak akan diperoleh sebab tiada pemeriksa yang akan menandanya. 

Fahamilah bahawa suatu kebaikan itu bernilai sekiranya ada iman. Kita haruslah menjaganya daripada rosak. Iman umpama air wuduk, ada masa ia juga boleh terbatal. Iman tidak selama-lamanya kekal sebab ia boleh bertambah mahupun berkurang. Iman juga boleh disifatkan seperti bateri kereta, ada kalanya kuat dan ada kalanya lemah. 

3 perkara yang tidak terputus setelah mati

وَنَرِثُهُۥ مَا يَقُولُ وَيَأْتِينَا فَرْدًا

“Dan Kami akan warisi (harta benda dan anak-pinak) yang dikatakannya itu, dan dia akan datang kepada Kami dengan seorang diri.” (80)

Walaupun mempunyai ramai anak-beranak atau pengikut di dunia, namun di akhirat kelak kita akan bertemu dengan Allah S.W.T seorang diri. Kemasyhuran pada zaman dahulu adalah harta dan anak lelaki. Sebab zaman dahulu adalah zaman peperangan. 

Apabila meninggalnya anak-anak Nabi Adam, maka terputuslah segala-galanya kecuali doa anak yang soleh, sedekah jariah (yang berterusan) dan ilmu yang bermanfaat. Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ، إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَه

“Apabila manusia meninggal dunia terputuslah pahala amalannya kecuali daripada tiga sumber: Sedekah yang berterusan faedahnya, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang berdoa kepadanya.” 

(Hadis Riwayat Muslim No. 3092)

1. Sedekah.

Boleh menghalang kita daripada api neraka, azab kubur dan kepapaan. 

2. Ilmu yang bermanfaat.

Ilmu yang orang lain memperoleh faedah dengannya. Contohnya, mengajar cara membuat karipap dan menjahit baju. Sehingga orang boleh hidup dan mampu menanggung keluarganya. 

Lebih-lebih lagi ilmu agama seperti kitab-kitab Imam Syafie dan Imam Nawawi yang masih dibaca sehingga ke hari ini. Walaupun Imam Nawawi hidup cuma selama 45 tahun, namun beliau telah menulis ratusan kitab. Jauh beza dengan kita, umur sudah mencecah 70 tahun tetapi tiada satu kitab pun yang ditulis. 

Oleh itu, ilmu haruslah disebar bukan disimpan. Kalau ia disimpan, kita sahaja yang memperoleh manfaatnya. Tetapi kalau kita menyebarnya tidak kira ilmu apa pun, Insya-Allah akan berterusan sampai bila-bila. 

3. Doa anak soleh.

Berdoalah supaya anak-anak kita menjadi anak yang baik akhlaknya. Tidak semestinya perlu menjadi Tok Lebai atau orang alim. Sekurang-kurangnya menjadi anak yang sentiasa mengingati ibu dan ayahnya, sentiasa berdoa untuk ibu dan ayahnya, tidak derhaka, tidak berkata buruk dan menjaga hubungan dengan sahabat-sahabat ibu dan ayahnya. 

Jagalah hubungan dengan mereka (sahabat-sahabat ibu dan ayah) selama mereka masih hidup. Walaupun kita tidak menyukai perangai mereka, namun kita tetap perlu menghormati mereka seperti mana kita menghormati ibu dan ayah kita. Itulah bakti seorang anak kepada ibu dan ayah di mana kebanyakan antara kita langsung tidak peduli mengenainya. 

Larangan kebergantungan lebih kepada makhluk 

وَٱتَّخَذُوا۟ مِن دُونِ ٱللَّهِ ءَالِهَةً لِّيَكُونُوا۟ لَهُمْ عِزًّا

“Dan mereka yang kafir menyembah benda-benda yang lain dari Allah sebagai tuhan-tuhan, supaya benda-benda yang mereka sembah itu menjadi penolong-penolong yang memberi kemuliaan dan pengaruh kepada mereka.” (81)

Sifat orang kafir yang lain ialah menyembah sesuatu selain daripada Allah S.W.T dengan harapan ia boleh membantu mereka seperti menyembah berhala, tempat keramat dan sebagainya. Kita dilarang untuk memuja sesuatu selain daripada Allah S.W.T walaupun ia dikatakan mungkin mempunyai khasiat. Kalau kita lebih mempercayai perkara-perkara tersebut berbanding Allah S.W.T, maka ia tidak betul. 

Majoriti ulamak tidak membenarkan kita untuk memakai azimat. Azimat yang mengandungi ayat-ayat al-Quran tidak menjadi masalah. Ulamak berasa bimbang kalau kita terlalu bergantung dengan azimat tersebut berbanding dengan Allah SWT. 

Antara contoh kebergantungan terhadap perkara selain daripada Allah S.W.T:  

1. Kalau hendak ke mana-mana, sanggup berpatah balik jika tertinggal azimat. Ia boleh membawa kepada kesyirikan. Ada juga yang bergantung pada cincin yang boleh menjadikannya kebal. 

2. Setelah keluar daripada rumah, kalau ada sesuatu yang melintas di hadapan hatta seekor kucing pun, tidak pergi ke mana-mana lah jawabnya. Tidak menjadi masalah kalau nak ambil pedoman petua tetapi iktikad kita mestilah betul. 

3. Batu geliga digunakan sehingga dibawa ke dalam solat. 

Segala yang diciptakan oleh Allah S.W.T mempunyai khasiat tertentu. Ulat najis pun mempunyai khasiat di mana ia memproses najis kepada baja. Baja inilah yang menyuburkan tanah. Sayur-sayuran juga dibaja dengan baja najis. 

Semua ada kegunaan tetapi bersesuaian dengan cara-cara tersendiri. Namun begitu, kita dilarang untuk bergantung sepenuhnya terhadap benda-benda tersebut sehingga melupakan Allah S.W.T. Benda-benda tersebut hanya menjadi sebab sahaja. 

Sebagai contoh, setelah mengambil ubat-ubatan, kita kembali sembuh. Kita sembuh bukan kerana ubat tetapi Allah yang memberikan kesembuhan. 

Salah: “Mujur makey ubat, tu siya” (“Mujur makan ubat, sembuh”),

“Nasib baik ada ubat nih, kalu tidop tok siya aku nih” (“Nasib baik ada ubat ni, kalau tidak saya tidak sembuh”)

Betul: “Mujur aku amik ubat, Allah buwi siya” (“Mujur saya ambil ubat, Allah beri sembuh”)

Contoh lain, kita makan kemudian kenyang. Kita kenyang bukan kerana makan tetapi Allah yang memberikan kekenyangan. Ada yang makan sebanyak tiga pinggan tetapi masih tidak kenyang:

كَلَّا ۚ سَيَكْفُرُونَ بِعِبَادَتِهِمْ وَيَكُونُونَ عَلَيْهِمْ ضِدًّا

“Tidak sekali-kali! Bahkan benda-benda yang mereka pertuhankan itu mengingkari perbuatan mereka menyembahnya, dan akan menjadi musuh yang membawa kehinaan kepada mereka.” (82)

Di akhirat, kayu, batu dan sebagainya yang disembah akan berlepas diri. Dengan kuasa-Nya, benda-benda ini dapat bercakap. Ada yang bertanya, macam mana benda-benda ini boleh bercakap? Sebenarnya, ia tidak perlu dipersoalkan sebab percakapan ini tidak semestinya perlu ada mulut. 

Radio yang ada ratusan siaran, di manakah mulutnya? Tiada siapa yang mampu menjawabnya. Jadi, jika manusia boleh mencipta radio sedemikian, maka tidak mustahil bagi Allah kerana Dia Maha Berkuasa. 

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Yang di-Pertua Dewan Negeri Kelantan, Dato’ Haji Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 4 September 2023 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan. – HARAKAHDAILY 11/9/2023

Rujukan:
[1] Kashfu al-Khafa’ oleh Al-Ajluni (3209).

- Advertisement -