MPB beri jolokan Jom Heboh Kelantan patuh syariah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pegawai Penguatkuasa MPKB-BRI memantau penganjuran konsert sempena Karnival Jom Heboh seawal Maghrib sehingga selesai konsert bagi memastikan berlaku kepatuhan terhadap syarat ditetapkan kerajaan negeri.

- Advertisement -

Pengerusi Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, berdasar laporan diterima bahawa keadaan terkawal dan penganjur sentiasa mengingatkan penonton berkenaan pengasingan tempat duduk.

Turut disediakan kawasan hadapan sebagai ruang keluarga, kiri perempuan dan kanan lelaki yang diumum berulang kali menerusi hebahan agar penonton menjaga tatasusila sepanjang konsert berlangsung.

Katanya bagi pihak kerajaan negeri beliau merakam ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Jom Heboh dengan versi Membangun Bersama Islam terutama Media Prima yang memberikan jolokan Jom Heboh Konsep Patuh Syariah.

“Ia sejajar dengan saranan kerajaan negeri melibatkan aktiviti bersifat Islamik seperti Forum Perdana Ehwal Islam, Kuliah Khas Pagi Jumaat, pertandingan Azan dan bercerita serta MyQurantime,” katanya pada kenyataan malam ini.

Enakmen Kawalan Hiburan Dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 diwartakan pada 8 November 1998 yang kemudiannya diperincikan melalui Garis Panduan Kawalan Hiburan 2003 menerusi Pekeliling Negeri Bilangan 4 Tahun 2003.

Program Jom Heboh diadakan di RTC Tunjong bermula 7 September lepas dan berakhir semalam, mendapat sambutan menggalakkan.

Mohd Asri juga berkata, garis panduan diwujudkan bagi tujuan menjelaskan maksud, jenis dan kelas hiburan di bawah Kawalan Kerajaan Negeri berdasarkan Enakmen Kawalan Hiburan Dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 sebagai panduan kepada pegawai-pegawai pelesenan, penggiat hiburan dan pihak awam.

Menurutnya penyelarasan Jom Heboh Kelantan 2023 kali ini di bawah pemantauan Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan Dan Hubungan Seranta Negeri.

Permohonan konsert sempena Karnival Jom Heboh dipohon dan diluluskan MPKB-BRI dan penganjur bersetuju dengan semua peraturan dan syarat yang telah ditetapkan.

“Saya menegaskan bahawa, Kelantan Bumi Serambi Mekah sejak sekian lama sehingga kini terbuka dan mengalu-alukan sebarang penganjuran apa jua karnival atau hiburan sekiranya penganjur boleh mengikuti syarat ditetapkan.

“Apa yang lebih penting penganjur juga hendaklah mengambil kira pendekatan negeri ini yang konsisten dengan dasar Membangun Bersama Islam,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/9/2023

- Advertisement -