Bahas keputusan kes Zahid: PM mendahului Speaker Parlimen

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

PERIKATAN NASIONAL (PN) mendapati kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menolak untuk Parlimen membahaskan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan jenayah yang dihadapinya sebagai tindakan melanggar undang- undang dan penyalahgunaan kuasa yang nyata.

- Advertisement -

Meskipun sebagai Ketua Majlis Parlimen, Perdana Menteri tidak mempunyai sebarang kuasa atau hak untuk menentukan atau memutuskan berdasarkan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat (standing order) sekiranya terdapat usul yang dikemukakan untuk membahaskan perkara tersebut. Sebaliknya penerimaan atau penolakan usul sedemikian berada dalam bidang kuasa dan budi bicara Yang Dipertua Dewan atau Speaker semata-mata.

Di sini jelas bahawa Perdana Menteri telah membuat kenyataan yang melampaui bidang kuasa dan peranannya sebagai Ketua Majlis dengan mendahului keputusan yang sepatutnya dibuat oleh Yang Dipertua Dewan.

Dalam isu yang dipertikaikan oleh banyak pihak ini, persoalan sub judice juga tidak timbul kerana kes ini telah pun berakhir apabila pihak Peguam Negara dengan pelbagai alasan yang pelik meletakkan mahkamah dalam keadaan yang tiada pilihan melainkan melepaskan tertuduh walaupun berstatus DNAA.

Maka jelaslah perkara ini sepatutnya boleh dibincangkan oleh orang ramai, apatah lagi oleh Ahli Parlimen dalam forum rasmi berkepentingan awam di Dewan Rakyat.

Keperluan untuk kes berkenaan dibahaskan dalam forum tertinggi negara juga semakin perlu dan mendesak memandangkan kesan besarnya bukan sahaja ke atas institusi perundangan dan kehakiman, tetapi juga terhadap imej dan integriti kerajaan dan negara di mata rakyat dan juga masyarakat antarabangsa.

Respons negatif, tidak puas hati dan paling tidak terkejut dalam kalangan banyak pihak, selain perbahasan dan komentar meluas dalam kalangan rakyat juga jelas menunjukkan bahawa kes tersebut dan keputusan Peguam Negara dan mahkamah berkait dengannya adalah petanda jelas tentang kepentingannya.

PN juga melihat alasan Perdana Menteri bahawa Peguam Negara bukan menteri atau Ahli Parlimen bagi menyokong kenyataan beliau menolak perbahasan isu ini di Parlimen amat tidak boleh diterima.

Selama ini segala isu perundangan termasuk yang dibangkitkan di Parlimen oleh Perdana Menteri sendiri dan partinya semasa berada di pihak pembangkang dahulu dapat dijawab malah diberikan penerangan yang jelas oleh menteri-menteri yang berkaitan termasuk kes mahkamah melibatkan isu 1MDB dan seumpamanya.

PN amat percaya berdasarkan keadaan tidak positif yang wujud dalam masyarakat berhubung isu ini, maka keputusan pihak pendakwaan yang membawa kepada penghakiman DNAA tersebut perlu diteliti dan diperiksa oleh Parlimen kerana ia berkait rapat dengan soal integriti dan kebolehpercayaan terhadap bukan sahaja Jabatan Peguam Negara, malah PN membayangkan keberangkalian yang tinggi campur tangan pihak kerajaan sendiri dalam kes ini.

Justeru PN menyeru dan mengharapkan agar Yang Dipertua Dewan Rakyat akan membuat petua yang dihormati (respected ruling) berkaitan perkara ini berdasarkan peratuan dan undang-undang yang ada secara adil saksama tanpa gentar dan memihak (without fear of favour) serta tidak tunduk kepada desakan mana-mana pihak termasuk kerajaan.

TAKIYUDDIN HASSAN
Ketua Whip PN
9 September 2023 – HARAKAHDAILY 9/9/2023

- Advertisement -