PRK: Masa depan yang cerah untuk PAS, PN di Johor

Ustaz Abdullah Hussin
- Advertisement -

MUAR: “Jadi teruskan perjuangan, insya-Allah kita yakin masa depan yang baik untuk PAS dan PERIKATAN NASIONAL di negeri Johor,” kata Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Abdullah Husin.

- Advertisement -

Menurutnya, perjuangan PAS dan PERIKATAN NASIONAL di negeri ini masih panjang lagi.

“Kita masih mempunyai masa depan yang baik dan kita tidak berputus asa,” ujarnya kepada Harakahdaily, malam ini sebagai mengulas keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram yang berlangsung hari ini.

Calon PERIKATAN NASIONAL, Dr Mazri Yahya memperolehi 10,330 undi sementara calon PH, Nazri Abdul Rahman dan Bebas, S Jegananthan masing-masing mendapat 13,844 dan 311 undi.

Seramai 24,485 daripada 40,301 pengundi atau 60.85 peratus keluar mengundi pada PRK itu di mana 74 undi ditolak, manakala 12 undi tidak dikembalikan.

Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK DUN Simpang Jeram, Jamil Hasni Abdullah pada jam 9.11 malam di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini.

“Sebenarnya undi kita meningkat, cuma belum cukup untuk menang berbanding pilihan raya yang terdahulu, undi kita meningkat banyak.

“Jadi bagi saya kita sudah menang di sisi Allah kerana kita telah berusaha, berjuang, berkorban sebaik mungkin bagi mencari keredaan Allah SWT, maka kita pun menang di sisi Allah SWT,” ujar Ustaz Abdullah lagi.

Pada PRU Dewan Negeri Johor ke-15 yang diadakan pada 12 Mac 2022 lalu, calon PERIKATAN NASIONAL mendapat 6,350 undi.

Justeru, tambahnya pendukung PAS dan PERIKATAN NASIONAL tidak pernah berputus asa.

Beliau turut memetik ayat 139 Surah Ali Imran yang bermaksud: Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.

“Jadi perjuangan masih panjang lagi, masa depan insya-Allah untuk PERIKATAN NASIONAL termasuklah juga PAS amat cerah,” katanya.

Ustaz Abdullah juga berkata, beliau telah berbincang dengan Dr Mazri untuk menyantuni masyarakat di DUN Simpang Jeram.

“Saya telah berbincang dengan Dr Mazri Yahya bahawa kita akan terus menyantuni masyarakat di Simpang Jeram ini selepas ini.

“Insya-Allah kita cuba buat apa yang termampu untuk membantu rakyat dan juga Dr Mazri supaya dapat memainkan peranan yang baik untuk masyarakat dan rakyat di Simpang Jeram ini,” katanya.

Beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada semua petugas pada PRK DUN Simpang Jeram.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada semua petugas-petugas, jentera dari seluruh negara yang datang dari jauh dan dekat termasuklah pimpinan-pimpinan di semua peringkat dari jauh dan dekat yang telah mengorbankan masa, tenaga, wang ringgit, jadi hanya Allah SWT sahajalah yang dapat membalas segala yang telah dicurahkan di DUN Simpang Jeram ini.

“Terima kasih juga kepada Harakah dan team media banyak membantu dalam meningkatkan undi kita di DUN Simpang Jeram ini. Semoga diberikan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT,” tambahnya.

Ustaz Abdullah turut memohon kemaafan di atas segala kekurangan, kelemahan dan layanan yang kurang baik kepada petugas-petugas dari jauh dan dekat.– HARAKAHDAILY 9/9/2023

- Advertisement -