Dr Mazri puas hati berjaya tingkat undi PN

Dr Mazri Yahya
- Advertisement -

MUAR: Dr Mohd Mazri Yahya berpuas hati kerana berjaya meningkatkan jumlah undi PERIKATAN NASIONAL pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram, hari ini.

- Advertisement -

Katanya, walaupun kemenangan tidak berpihak kepada PERIKATAN NASIONAL, namun jumlah undi meningkat berbanding keputusan pilihan raya yang lepas.

Pada PRU Dewan Negeri Johor ke-15 yang diadakan pada 12 Mac 2022 lalu, calon PERIKATAN NASIONAL mendapat 6,350 undi.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada penduduk Simpang Jeram kerana telah menunaikan tanggungjawab demokrasi dalam negara ini.

Dr Mazri juga mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada pengundi Simpang Jeram yang telah memilih PERIKATAN NASIONAL.

“Terima kasih juga kepada ahli Umno yang mahukan perubahan dengan mengundi PERIKATAN NASIONAL kali ini. Undi kalian tentulah amat berharga,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, malam ini.

Pada PRK DUN Simpang Jeram yang berlangsung hari ini, beliau memperolehi 10,330 undi sementara calon PH, Nazri Abdul Rahman mendapat 13,844 undi dan calon Bebas, S Jegananthan mengutip 311 undi.

Seramai 24,485 daripada 40,301 pengundi atau 60.85 peratus keluar mengundi pada PRK itu di mana 74 undi ditolak, manakala 12 undi tidak dikembalikan.

Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK DUN Simpang Jeram, Jamil Hasni Abdullah pada jam 9.1i malam di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini.

Dr Mazri juga mengucapkan tahniah dan selamat berkhidmat kepada Nazri dan PH kerana berjaya mempertahankan kerusi itu.

Justeru, beliau menyeru Adun yang baharu itu agar melakukan yang terbaik untuk kesejahteraan rakyat Simpang Jeram tanpa mengira perbezaan politik mahupun kaum.

“Saya sangat percaya, keputusan hari ini adalah signal kuat bahawa hanya dengan perpaduan Melayu sajalah kita dapat memastikan negeri dan negara ini dapat ditadbir dengan baik.

“Ianya juga bukti bahawa bangsa Johor hanya memilih dan menyokong pemimpin yang Bersih, Prihatin dan Stabil bagi mengekalkan kemakmuran masyarakat kita,” katanya lagi.

Akhir kata, pakar bedah vascular itu mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua jentera PERIKATAN NASIONAL Simpang Jeram, jentera PAS kawasan bantu dan semua yang terlibat sepanjang tempoh berkempen dalam pilihan raya kali ini.

“Hanya Allah yang mampu membalas jasa baik semua,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 9/9/2023

- Advertisement -