Empat negeri ditadbir PN bentuk Koridor Hijau

- Advertisement -

KOTA BHARU: Empat negeri yang ditadbir PERIKATAN NASIONAL (PN) akan membentuk gabungan yang dinamakan Koridor Hijau pada peta Semenanjung Malaysia.

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis menjadikan syariat Islam asas pemerintahan negeri.

- Advertisement -

Katanya, pelaksanaan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) dirintis sejak lebih 30 tahun lalu berjaya meletakkan Kelantan sebagai model kerajaan yang berintegriti dan telus.

“Kini Kelantan bersama–sama Terengganu, Kedah dan Perlis untuk membentuk Koridor Hijau yang meletakkan pemahaman dasar Islam dalam agenda pentadbiran.

“Serta memastikan cara hidup Islam diperkukuh melalui pelaksanaan dasar, penggubalan undang-undang Islam, pembangunan akhlak dan sahsiah kepimpinan dan rakyat.

“Seterusnya menggerakkan pembangunan negeri yang dinamik berdasar pembangunan seimbang dan meningkat jati diri Islam bagi mencapai Kelantan Maju Rakyat Sejahtera,” katanya pada Majlis Amanat Khas Menteri Besar di Dewan Tok Guru Dato’ Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nazran Muhammad, wakil-wakil rakyat dan pegawai kanan kerajaan.

Mohd Nassuruddin juga berkata, rakyat Kelantan menghargai jasa dan idea kepimpinan dahulu yang berjaya mewujudkan asas bagi membentuk sebuah negeri makmur dan sejahtera.

Menurutnya, dasar MBI menjadi pegangan bagi setiap lapisan rakyat untuk terus mempertahankan kerajaan negeri walaupun banyak cabaran datang.

“Oleh yang demikian, rakyat Kelantan sangat menghargai jasa kepimpinan terdahulu sejak pengenalan dasar ini pada era pentadbiran almarhum Tuan Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Ia terus diperkukuhkan pada era Merakyat Membangun Bersama Islam pimpinan pentadbiran Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob yang mengecapi pelbagai kejayaan demi kesejahteraan rakyat Kelantan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/9/2023

- Advertisement -