Saudi kekal kurangkan hasil minyak 1 juta tong sehari

Pengeluaran minyak Arab Saudi untuk Oktober, November dan Disember 2023 akan dikekalkan sebanyak sembilan juta tong sehari. (FOTO: SPA)
- Advertisement -

RIYADH: Arab Saudi akan melanjutkan pemotongan pengeluaran minyak sukarelanya sebanyak satu juta tong sehari sehingga akhir tahun ini.

Laporan Agensi Akhbar Saudi (SPA) pada Selasa (5 Sept) memetik sumber rasmi di Kementerian Tenaga negara itu sebagai berkata, pemotongan yang mula berkuat kuasa pada Julai tahun ini tersebut  akan diteruskan selama tiga bulan lagi sehingga akhir Disember 2023.

- Advertisement -

Dengan keputusan baharu itu, pengeluaran minyak Saudi untuk Oktober, November dan Disember akan menjadi kira-kira sembilan juta tong sehari.

Tambah Laporan SPA yang  memetik sumber sebagai berkata bahawa keputusan itu akan disemak setiap bulan untuk mempertimbangkan  tentang ‘memperdalam pemotongan atau meningkatkan pengeluaran’.

Sumber itu juga menyatakan bahawa pemotongan ini adalah tambahan kepada pemotongan sukarela yang diumumkan sebelum ini oleh kerajaan Saudi  pada April 2023, yang berlanjutan sehingga akhir Disember 2024.

Laporan itu berkata pemotongan sukarela tambahan ini bertujuan untuk mengukuhkan usaha berjaga-jaga yang dibuat oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya, dikenali sebagai OPEC+, untuk menyokong kestabilan pasaran minyak global. – HARAKAHDAILY  6/9/2023

- Advertisement -